PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mendakwa bukan sahaja diperlekeh Pakatan Harapan (PH), tetapi tidak dilayan untuk berbincang termasuk menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, PH tidak memberikan sebarang maklum balas sedangkan pihaknya sudah menghantar tiga surat memohon mengadakan pertemuan dan semuanya tidak diberi maklum balas.
“Saya secara peribadi telah cuba menghubungi Perdana Menteri dan pegawainya dengan pelbagai cara sama ada di dalam Parlimen, di luar Parlimen, melalui pesanan teks, dan sebagainya. Malangnya, tiada maklum balas.
“Muda seolah-olah diperlekehkan apabila Ketua Setiausaha Agung PH (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) menjawab bahawa beliau tidak ada masa untuk membaca surat-surat kami, walaupun pejabatnya pada mulanya bersetuju dengan tarikh yang ditetapkan tetapi membatalkannya pada saat-saat akhir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kenyataan veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, yang menasihatkan Muda tidak tergesa-gesa bertanding sendiri, sebaliknya perlu bekerjasama dengan kerajaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Kelmarin Muda mengambil keputusan untuk bergerak secara solo untuk menghadapi PRN tidak lama lagi.
Selain itu, Syed Saddiq menambah, usaha pihaknya mengadakan pertemuan bertujuan untuk membincangkan membina Malaysia benar-benar bersifat harmoni, berpendirian sederhana dan berpusatkan reformasi bukannya meminta jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti berlaku pada hari ini malah tidak meminta diberikan kontrak.
“Muda berada di sini untuk memastikan masa depan Malaysia yang mampan dan membawa era politik baharu yang mana kepelbagaian diraikan dan kuasa dikembalikan kepada institusi berorientasikan rakyat dan bukan terpusat di tangan elitis politik.
“Saya setuju dengan pandangan Tan Sri mengenai Perikatan Nasional (PN) yang bermain naratif politik perpecahan dan perlunya ada alternatif. Kami ingin menjadi alternatif progresif itu, bukannya menanam ketakutan, perpecahan dan berpaksikan partisan yang dimainkan oleh elitis politik,” katanya.
Dalam surat sama, Ahli Parlimen Muar itu menegaskan beliau mahukan reformasi dilaksanakan sebagaimana diinginkan Kit Siang dan kecewa kerana jawatan GLC masih dianggap sebagai ganjaran politik kepada elitis politik.
Dalam masa sama, Syed Saddiq kecewa apabila kumpulan menggelarkan diri mereka sebagai reformis hanya mendiamkan diri apabila timbul desakan pengampunan, penangguhan tanpa had atas pertuduhan jenayah Timbalan Perdana Menteri dan skandal untuk projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).
“Saya bukan berada di sini untuk menjadi hakim, juri, dan pendakwa raya. Tolong jangan melaungkan rule of law (kedaulatan undang-undang) sebelum pilihan raya, tetapi terus berdiam diri apabila berkuasa.
“Bahkan pembelaan terhadap integriti kehakiman seperti tidak bersungguh-sungguh. Institusi kehakiman kita diserang, namun ramai di dalam tampuk kuasa hari ini memilih untuk berdiam diri. Cukuplah,” katanya. – UTUSAN










