PETALING JAYA: Selepas membuat keputusan bertanding secara solo, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) membuka permohonan kepada individu yang berminat menjadi calon parti itu pada enam pilihan raya negeri (PRN), tidak lama lagi.
Dalam satu hantaran di Twitter, Muda menyifatkan PRN akan datang membawa peluang kepada individu yang menginginkan masa depan positif untuk parti itu dan Malaysia.
“Muda ingin menjemput calon kepemimpinan yang berwawasan, berintegriti serta calon yang bercita-cita tinggi meletakkan diri inspirasi kepada komuniti.
“Tiba masanya untuk mengambil langkah pertama dalam #PolitikBaru dan daftar menjadi calon pilihan raya Muda. https://bit.ly/calonMUDA,” tulis hantaran itu, semalam.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Muda ingin menjadi wake up call kepada parti Kerajaan Perpaduan hari ini kerana dilihat terlalu selesa dengan sokongan majoriti 148 ahli Parlimen.
Justeru, biarpun mengakui tindakan ‘berperang’ secara solo pada PRN meletakkan parti itu dalam risiko, Muda sedia menerima sebarang keputusan sama ada menang atau sebaliknya. – UTUSAN










