PONTIAN: Kementerian Pertahanan telah meluluskan sebanyak 43 permohonan bagi membina rumah baharu menerusi Inisiatif Perumahan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga Jun ini.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, dalam tempoh yang sama juga, kementerian telah menyiapkan pembaikan membabitkan 169 rumah veteran ATM yang mengalami kerosakan di seluruh negara.
Beliau berkata, kementerian berhasrat untuk membina lebih banyak kediaman baharu serta membaik pulih rumah veteran ATM dari semasa ke semasa.
“Setiap tahun, permintaan bagi pembinaan rumah baharu ini menunjukkan peningkatan. Pada tahun lalu, jumlah peruntukan adalah untuk membina 25 buah rumah dan jumlah itu meningkat kepada 43 yang telah diluluskan.
“Di peringkat kementerian, penilaian sentiasa dilakukan kerana kita mengambil maklum inisiatif Perumahan Veteran ATM amat membantu golongan veteran kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyerahkan rumah veteran ATM kepada balu anggota di Jalan Jaya Ayer Baloi, di sini hari ini.
Rumah itu dilengkapi dengan tiga bilik tidur itu dianggarkan bernilai RM85,000 dan dilaksanakan dengan kerjasama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
Adly berkata, kementerian akan cuba mendapatkan peruntukkan yang lebih tinggi menerusi Bajet bagi memastikan Inisiatif Perumahan Veteran ATM dapat diteruskan meskipun berdepan cabaran kenaikan kos barang binaan.
Jelasnya, cabaran kenaikan kos pembinaan rumah tersebut tidak menjejaskan hasrat kementerian untuk berusaha menyediakan rumah serta membaik pulih kediaman veteran ATM.
Dalam pada itu, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berharap anggota veteran ATM dapat mengemaskini data dan maklumat diri menerusi portal Veteran Integrated Benefit System (Vibes 2.0) dalam usaha penyampaian perkhidmatan kepada veteran tentera dan tanggungan mereka.
Katanya, Vibes 2.0 yang dilancarkan Rabu lalu merupakan usaha untuk meningkatkan kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada veteran tentera dan tanggungan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV).
Menerusi sistem pangkalan data baharu tersebut, katanya, keupayaan pengurusan, pemantauan, pelaporan maklumat warga veteran dan waris akan lebih berkesan.
Segala hebahan maklumat pelbagai kemudahan, permohonan, semakan status permohonan, semakan faedah persaraan, tarikh jadual pencen, bantuan kebajikan, kemaskini maklumat peribadi dan waris, tuntutan perubatan serta pengurusan persatuan veteran boleh didapati dalam sistem tersebut.
“Kita telah melancarkan sistem ini untuk memastikan anggota veteran kita boleh melengkapkan maklumat semasa mereka. Data semasa ini diperlukan untuk pelaksanaan program-program kebajikan, kesihatan pendidikan dan seumpamanya.
“Sistem ini akan dapat mempertingkatkan lagi kaedah untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada anggota-anggota veteran. Saya berharap anggota veteran di seluruh negara dapat memberikan maklumat yang terkini supaya bantuan dari pelbagai aspek dipantau dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN










