SHAH ALAM: Mahasiswa tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu memanfaatkan kenaikan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) yang diterima mereka baru-baru ini dengan merebut akses pendidikan lebih berkualiti.
Mereka yang menerima biasiswa bagi pengajian di dalam dan luar negara perlu memastikan faedah tersebut digunakan dengan mendapatkan buku-buku rujukan dan bahan ilmiah tambahan sebagai akses kepada pendidikan tinggi lebih holistik serta berkualiti.
Presiden Persatuan Pemimpin Belia Universiti Malaya (UM), Lim Shan Shien menyifatkan kenaikan ESH sebagai bantuan kepada mahasiswa berdepan peningkatan kos sara hidup.
“Ini membolehkan mahasiswa sebagai pemimpin masa depan memanfaatkan ilmu menjadi insan cemerlang selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara iaitu kecemerlangan bakat,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan bersetuju menaikkan kadar ESH pelajar JPA bagi peringkat persediaan hingga Ijazah Lanjutan di dalam dan luar negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan itu melibatkan pertambahan implikasi kewangan dengan anggaran sebanyak RM52.03 juta bagi tempoh enam bulan mulai bulan depan yang memanfaatkan 43,595 pelajar.
Ia meliputi kenaikan 15 peratus kadar ESH bagi pelajar tajaan JPA di luar negara kecuali kepada pelajar Ijazah Pertama di United Kingdom (UK) yang dinaikkan pada 7 November tahun lalu.
Menurut San Shien, elaun itu turut meringankan beban mahasiswa menjalani kehidupan di universiti.
“Kenaikan elaun itu membantu pelajar menjalani hidup lebih selesa dan menggunakannya bagi pengangkutan, makanan serta pendidikan. Ia sekali gus menyuntik semangat mereka menuntut ilmu dengan lebih tekad berbekalkan sokongan padu kerajaan yang mahu memenuhi aspirasi melahirkan rakyat berpendidikan dan bertamadun,” katanya. – UTUSAN










