Malaysia ‘boikot’ mesyuarat khas Thailand dengan Myanmar

Malaysia ‘boikot’ mesyuarat khas Thailand dengan Myanmar

BANGUNAN Kementerian Luar Thailand di Sri Ayuttahaya Road, Daerah Ratchathewi, Bangkok. - GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia ibarat memberi isyarat jelas masih lagi tidak mengiktiraf pihak junta Myanmar apabila enggan menyertai mesyuarat tidak rasmi di Thailand hari ini.

Difahamkan Indonesia selaku Pengerusi ASEAN 2023 dan Singapura turut ‘memulaukan’ sesi perbincangan dengan rejim Myanmar yang dianjurkan Kementerian Luar Thailand itu.

Kelmarin, beberapa agensi media asing melaporkan bahawa Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai menjemput rakan sejawat serantaunya berbincang dengan junta Naypyidaw.

Hasrat beliau itu dinyatakannya menerusi surat diplomatik yang bertarikh 14 Jun lalu kepada sembilan menteri luar ASEAN termasuklah Menteri Luar Myanmar, Than Shwe sendiri.

Setakat ini, agensi berita antarabangsa mengesahkan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi dan rakannya dari Singapura, Vivian Balakrishnan tegas mengesahkan tidak akan datang.

Walau bagaimanapun, Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn menyatakan persetujuan untuk hadir dan memang tidak aneh kerana negara itu diketahui agak ‘rapat’ dengan Myanmar.

Than Swe yang juga bekas diplomat, baru sahaja dilantik junta mengetuai Kementerian Luar Myanmar pada 1 Februari lalu bagi menggantikan penyandangnya, Wunna Maung Lwin.

Bekas kolonel tentera kebangsaan Tatmadaw itu pernah menjadi pengerusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Myanmar dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam di negara tersebut.

Beliau namun disekat memasuki 27 negara Kesatuan Eropah kerana ada peranan besar dalam isu rampasan kuasa junta ke atas kerajaan awam demokrasi pada 1 Februari 2021.

Sejak kudeta berdarah tentera itu, dianggarkan lebih 3,600 individu maut manakala kira-kira 19,000 aktivis ditahan dan lebih 1.8 juta orang terpaksa melarikan diri ke luar negara.

Sementara itu, Kementerian Luar kerajaan dalam buangan Myanmar mengutuk keras mesyuarat tidak formal ditaja Thailand dan menyifatkan sesi berkenaan sebagai tidak sah.

Menerusi kenyataan, Menteri Luarnya, Daw Zin Mar Aung menganggap langkah Bangkok itu seolah-olah memberi mesej kononnya ASEAN telah mengiktiraf status junta Myanmar.

Pada masa sama, beliau turut mendesak kerajaan sementara Thailand agar membatalkan mesyuarat selama dua hari itu yang boleh memecahbelahkan perpaduan ASEAN sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya