PUTRAJAYA: Tindakan waris kumpulan Sulu menuntut serta mengganggu operasi aset Kerajaan Persekutuan adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab dan sebarang kerugian yang dialami Kerajaan Persekutuan atau agensinya hendaklah diberi pampasan oleh pihak berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, dalam hal itu, Mahkamah Tinggi Borneo di Kota Kinabalu adalah forum yang sewajarnya untuk memutuskan isu tuntutan pampasan waris Sulu atau mahkamah yang mempunyai bidang kuasa kompeten di Malaysia.
Ini kerana katanya, pihak yang menuntut bukanlah sebuah negara yang berdaulat dan isu pertikaian itu ialah pampasan yang didakwa berlaku akibat daripada pelanggaran perjanjian pajakan.
Beliau menjelaskan, pertikaian yang timbul pada hari ini sepatutnya dihadkan kepada isu pemilikan tanah seluas Sabah yang tertakluk kepada perjanjian pajakan, bukannya hak kedaulatan.
“Kedudukan ini boleh dihujahkan dalam beberapa aspek, ini kerana apa yang dituntut ialah bayaran pampasan terhadap pelanggaran kontrak pajakan tanah seluas Sabah pada hari ini.
“Untuk mempertimbang tuntutan waris Sulu, perjanjian pajakan yang menjadi asas tuntutan mereka perlu disemak semula dari sudut keabsahannya kerana Syarikat British-Borneo Utara menandatangani perjanjian dengan dua pihak berbeza iaitu Kesultanan Brunei sebagai pemilik asal wilayah Borneo Utara dan Kesultanan Sulu,” katanya di sini semalam.
Menurut beliau, perjanjian awal adalah melalui Suratcara Sultan Abdul Momin, melantik Baron de Overbeck sebagai Maharaja Sabah, Rajah Gaya dan Sandakan ditandatangani pada 29 Disember 1877 manakala perjanjian kedua pula dengan Sultan Jamalalulazam Sulu pada 22 Januari 1878.
Jelasnya, tindakan Syarikat British-Borneo Utara membuat ikatan perhubungan melalui suratcara dan perjanjian tersebut pastinya lebih bersifat untuk memiliki tanah Borneo Utara dengan keadaan aman tanpa gangguan Kesultanan Sulu yang menuntut Borneo Utara daripada Kesultanan Brunei.
Perjanjian dengan Kesultanan Sulu bukanlah kerana ia memiliki hak sebenar ke atas Borneo Utara, lebih bersifat diplomatik demi memelihara kepentingannya.
Tambah Wan Ahmad Fauzi, dokumen yang dikenali Madrid Protocol 1885, yang ditandatangani oleh British, Jerman dan Sepanyol juga dapat menghalang tuntutan pampasan waris Kesultanan Sulu terhadap Kerajaan Malaysia dan Negeri Sabah.
Ini kerana jelasnya, selepas Perjanjian Pajakan 1878, kedaulatan Kesultanan Sulu sudah berakhir dan wilayah kekuasaannya diserahkan kepada kedaulatan Sepanyol sebagaimana
Artikel III Protokol Madrid menyatakan persetujuan Sepanyol untuk melupuskan tuntutannya terhadap Borneo.
DWan Ahmad Fauzi berkata, pada ketika itu, kawasan seluas Sabah pada hari ini adalah sebahagian daripada wilayah kekuasaan Kesultanan Brunei.
Katanya, Kesultanan Brunei yang merupakan pemilik asal tanpa dipertikai oleh mana-mana pihak ke atas Borneo Utara tidak mempertikai Borneo Utara sebagai tanah jajahan British lanjutan daripada suratcara pelantikan tersebut.
Beliau berkata, dalam keadaan terdapat dua dokumen bersifat perjanjian yang sama ke atas Borneo Utara dengan pihak berbeza, isu perjanjian yang mana satu yang sah perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum tuntutan waris Kesultanan Sulu boleh dibicarakan.
“Malah kapasiti pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu juga boleh dicabar untuk memulakan tuntutan terhadap Kerajaan Malaysia.
“Dari sudut lain, tanah termasuklah urusan pajakan di bawah Perlembagaan Persekutuan adalah kekal dalam bidang kuasa negeri,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, Malaysia ialah sebuah negara berdaulat yang menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, kedudukan Sabah sebagai negeri dalam Persekutuan Malaysia yang berada secara langsung di bawah kedaulatan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh diabaikan oleh mana-mana tribunal antarabangsa, mahupun mahkamah di Malaysia.
“Undang-undang antarabangsa menghormati kedaulatan dalaman (internal sovereignty) sebuah negara berdaulat.
“Perkara 1 Perlembagaan Sabah jelas menunjukkan kuasa kedaulatan Yang di-Pertuan Agong ke atas Sabah pada hari ini. Fungsi kuasa kedaulatan Seri Paduka diwakilkan kepada Yang Dipertua Negeri Sabah yang melaksanakan kekuasaan tersebut mengikut peruntukan Perlembagaan Sabah sebagai negeri dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, peruntukan Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah tidak boleh dipinda tanpa mendapat perkenan Majlis Raja-Raja berlandaskan Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan kerana ia menyentuh kedudukan dan keistimewaan Yang di-Pertuan Agong, ketua Persekutuan yang mewakili Raja-Raja.
Terbaharu Kumpulan Sulu yang disifatkan biadab apabila menghantar surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun meminta sejumlah bayaran pampasan.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan semalam menyangkal keras tuntutan seorang peguam kepada pihak mendakwa waris Sultan Sulu menerusi surat ditulis Paul H. Cohen bertarikh 28 Mei menuntut kerajaan negara ini membayar segera sebelum tarikh semalam sejumlah AS$16.412 bilion (kira-kira RM75 bilion) termasuk 10 peratus lagi caj faedahnya.
Amaun itu kononnya untuk bayaran kepada peguam dan ahli pakar serta proses timbang tara kerana Malaysia sengaja gagal mematuhi ‘Final Award’ yang dikatakan sudah diputuskan termasuk bayaran kerana Malaysia kononnya membuat dakwaan keterlaluan dan tindakan ke atas penimbang tara dilantik waris iaitu Dr. Gonzalo Stampa. – UTUSAN










