LGBT: Bicara saman fitnah Mujahid-Pas Nov. 2025

LGBT: Bicara saman fitnah Mujahid-Pas Nov. 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pas gagal membatalkan saman yang difailkan oleh Naib Ketua Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berhubung isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh turut memerintahkan parti itu untuk membayar kos sebanyak RM3,000.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Noorazmi Zakaria yang mewakili bekas Ahli Parlimen Parit Buntar ketika dihubungi media hari ini.

“Mahkamah turut menetapkan perbicaraan penuh kes saman itu selama tiga hari bermula 24 November 2025,” ujar peguam itu.

Sementara itu, peguam Mohd. Faizi Che Abu yang mewakili parti politik berkenaan ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

“Hakim dalam keputusannya berpendapat terdapat beberapa isu yang perlu diputuskan melalui perbicaraan seperti isu pemilikan laman sosial Facebook yang dikatakan milik Pas,” ujar Mohd. Faizi.

Menurut notis permohonan yang difailkan pada 15 Februari lalu, Pas memohon saman itu dibatalkan atas alasan plaintif (Mujahid) gagal mendedahkan apa-apa klausa tindakan yang munasabah terhadap parti itu.

Pada 15 Disember 2022, Mujahid memfailkan saman tersebut selepas Pas dalam satu hantaran Facebook mendakwa bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menyokong golongan tersebut.

Menurut pernyataan tuntutannya, Mujahid menafikan bahawa ada menyuarakan sokongan terhadap LGBT atau menghalang pihak berkuasa daripada mengambil tindakan terhadap aktivis LGBT atau mereka yang terlibat dengan aktiviti berkaitan golongan itu.

Sehubungan itu, plaintif memohon perintah agar parti itu memadamkan kenyataan berbaur fitnah dan injunksi bagi menghalang Pas menerbitkan semula kenyataan fitnah tersebut.

Turut dimohon ialah ganti rugi am, teladan dan teruk, kos serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Pas dalam pernyataan pembelaannya menyatakan, kenyataan yang dibuat di lama Facebook parti itu adalah komen yang adil berdasarkan kenyataan dibuat Mujahid yang dilaporkan oleh media.

Defendan turut menyatakan pembelaan berdasarkan justifikasi kerana kenyataan yang dibuat adalah berdasarkan kenyataan plaintif termasuk kenyataan yang dibuat pada sesi soal jawab dengan media pada 8 Ogos 2018.

“Kenyataan-kenyataan, pendekatan dan pendirian plaintif sendiri berkenaan hak golongan LGBT yang berhak mengamalkan Aktiviti Berunsur LGBT selagi tidak melakukan jenayah dan mempromosikannya seolah-olah membuka ruang dan harapan kepada golongan LGBT untuk diiktiraf,” jelas pembelaan itu.

Selain itu, defendan mendakwa Mujahid telah membaca artikel yang diterbitkan di luar konteks dan tidak mengambil kira tanggungjawab dan amanah yang dipikul pengamal media dan penulis untuk memberikan gambaran sebenar, teguran dan kritikan kepada pemimpin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya