LEBIH 100 penerima dalam kalangan guru dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Hassan Yunus (SMKDHHY), Renggam, Kluang menerima anugerah dan hadiah atas pencapaian cemerlang, khususnya dalam bidang akademik, hal ehwal pelajar dan kokurikulum pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Penyampaian anugerah tersebut diadakan sempena Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut kali ke-50.
Majlis yang turut dihadiri Pengetuanya, Basir Ibrahim dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), A.Sani Palal dirasmikan oleh Penolong Naib Presiden, Attana Hotels & Resort Sdn. Bhd., anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB), Rosli Ismail yang merupakan alumni sekolah tersebut.
Terdahulu, Rosli turut berkongsi pengalaman dan perjalanan akademik serta kerjaya beliau dalam bidang komunikasi kepada para pelajar Tingkatan 5 dan 6 bagi memberi pendedahan awal tentang kursus komunikasi yang ditawarkan di peringkat diploma dan ijazah pertama.
Beliau menzahirkan perasaan gembira kerana dapat kembali dan berkongsi pengalaman dengan para pelajar di sekolah lamanya.-utusan










