Lantikan Wan Junaidi pemangkin kepada perjuangan MA63

Lantikan Wan Junaidi sebagai Yang Dipertua Dewan Negara pemangkin kepada perjuangan MA63

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Pelantikan Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Yang Dipertua Dewan Negara akan menjadi pemangkin kepada usaha memperjuangkan hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MA63 menjelaskan, meskipun Wan Junaidi tidak terlibat secara langsung dalam proses MA63, beliau akan memastikan semua hak yang termaktub dalam MA63 segera diselesaikan.

“Beliau (Wan Junaidi) memang layak dilantik kerana telah membuktikan dirinya sebagai ahli Dewan Rakyat dan menteri. 

“Malah, pada penggal yang lepas beliau begitu agresif dan komited dalam memastikan pindaan MA63 dan perlembagaan dapat diselesaikan,” katanya kepada media di sini pagi tadi. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sesi Penerangan dan Dialog Guna Tenaga Agrikomoditi di Hotel Pullman, di sini semalam.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berpendapat lantikan tersebut dilihat bukan semata-mata untuk kepentingan Sarawak, tetapi juga diberikan keutamaan kepentingan negara.

Nanta yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, pelantikan Wan Junaidi adalah keputusan yang tepat memandangkan Wan Junaidi berkebolehan dengan pengalaman yang dimilikinya sebagai bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan bekas timbalan menteri dan menteri penuh.

Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin pula berpendapat, pelantikan Wan Junaidi bertepatan hasrat kerajaan Sarawak untuk melihat rakyat negeri itu diberi penghormatan menjawat jawatan berkenaan.

“Saya merasakan beliau seorang yang layak kerana pernah menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat dan mempunyai pengalaman sebagai Menteri Undang-Undang yang disegani dan mempunyai banyak pengalaman.

“Secara langsung pelantikan ini akan membawa negara ke persada yang lebih tinggi kerana beliau mempunyai pengalaman yang luas dan sudah pastinya beliau akan melihat kepada aspek keistimewaan dan hak-hak Sarawak di Dewan Negara nanti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN