Lagi pegawai kanan bomba wanita terajui negeri

JPBM lantik seorang lagi pegawai kanan bomba wanita terajui negeri

SITI Rohani Nadir (kanan) menerima nota serah tugas sebagai Pengarah JBPM Johor sambil disaksikan Abdul Wahab (tengah) di Ibu Pejabat JBPM, Putrajaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terus memberi kepercayaan kepada anggota bomba wanita apabila seorang lagi pegawai kanannya dilantik menerajui negeri.

Terbaharu, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba (PKPjB), Siti Rohani Nadir, 52, dilantik sebagai Pengarah JBPM Johor berkuat kuasa 2 Mei lalu.

Siti Rohani adalah pegawai kanan bomba wanita kedua dilantik sebagai pengarah negeri selepas PKPjB Sayani Saidon yang kini menjawat Pengarah JBPM Perak.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, pelantikan Siti Rohani juga telah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beliau berkata, pihaknya akui cabaran pasti menanti Siti Rohani memandangkan Johor sebuah negeri yang besar dan membangun malah, JBPM Johor juga tidak pernah diterajui oleh pegawai kanan bomba wanita.

“Alhamdulillah, Siti Rohani juga bangsa Johor dan kami yakin dengan kebolehannya untuk memimpin JBPM Johor.

“Siti Rohani pernah memimpin Bahagian Keselamatan Kebakaran di Ibu Pejabat JBPM dan pengalaman itu akan digunakan sepenuhnya nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Nota Serah Tugas Pengarah Bomba Negeri, di sini hari ini.

Katanya, pelantikan anggota kanan bomba wanita ke jawatan tertinggi dibuat secara teliti dan berdasarkan daya kepemimpinan dan kebolehan mereka sendiri.

Abdul Wahab berkata, pihaknya akan terus memberi peluang kepada pegawai dan anggota bomba wanita untuk menjawat jawatan tinggi dalam jabatan jika mereka berkebolehan dan mampu memimpin.

Menurutnya, dari segi operasi, pihaknya tidak memandang faktor jantina dalam apa-apa operasi kebombaan namun, yang penting mereka mempunyai asas kepimpinan, kebolehan dan pengetahuan.

“Setakat ini, JBPM mempunyai seramai 665 anggota bomba wanita yang ditempatkan di pelbagai peringkat termasuk di ibu pejabat, negeri dan daerah,” katanya.

Sementara itu, Siti Rohani berkata, beliau menganggap pelantikan itu satu rezeki dan juga cabaran memandangkan Johor sebuah negeri yang besar.

Katanya, beliau juga akan melihat semula kekuatan jentera dan keanggotaan sedia ada bagi negeri itu sebagai persiapan menghadapi apa juga isu-isu bencana dan kebakaran.

“Antara cabaran utama yang bakal dihadapi termasuk bencana banjir dan pemantauan keselamatan kebakaran memandangkan negeri ini menempatkan banyak kawasan industri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya