PETALING JAYA: Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO) mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan perkembangan kes pelaburan kutu Sapiza selepas lima bulan penangkapan suspek dibuat pihak berkuasa.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ini ekoran beberapa mangsa telah tampil kepada pihaknya bagi memohon perhatian dan tindakan selanjutnya daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berkenaan kes tersebut.
Malah, katanya, beberapa mangsa juga ingin memberikan maklumat tambahan dengan dokumen sokongan bagi bukti-bukti baharu dalam siasatan berkenaan.
“Kita merasakan perlu ada keperluan untuk pihak polis memberikan perkembangan siasatan selepas hampir lima bulan tangkapan dilakukan terhadap suspek berkenaan.
“Ada juga mangsa mendakwa ada pihak ketiga meminta mereka untuk menarik laporan polis. Ini perkembangan tidak sihat.
“Sehubungan itu, kita desak pihak polis meneruskan siasatan serta tidak berkompromi dgn mana-mana pihak agar kertas siasatan dapat diselesaikan dan dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk pendakwaan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, Jalan Tun Razak hari ini.
Terdahulu, MHO menyerahkan surat permohonan perhatian dan tindakan lanjut kepada Timbalan Pengarah JSKK, Datuk Mohd. Hasbullah Ali.
Sementara itu, mangsa yang ingin dikenali sebagai Acu, 40-an, berkata, dia yang kerugian lebih RM30,000 telah menyertai pelaburan kutu itu pada 2021.
Jelasnya, dia yang melabur secara berperingkat turut dijanjikan pulangan kira-kira 10 hingga 60 peratus.
“Pada beberapa bulan pertama, saya mendapat keuntungan hampir 30 peratus namun suspek gagal memberikan pulangan dividen sejak September tahun lalu.
“Saya dan beberapa mangsa lain telah cuba menghubungi suspek namun mereka memberikan pelbagai alasan sehingga kami mendapatkan bantuan daripada MHO berkaitan kes ini,” ujarnya.
Februari lalu, media melaporkan seramai 60 mangsa tampil membuat aduan kepada MHO dan daripada jumlah itu seramai 30 mangsa sudah membuat laporan polis.
Modus operandi skim kutu digelar ‘Ekstra Saving Sapiza’ adalah menampilkan iklan menarik di pelbagai platform media sosial dengan menjanjikan pulangan lumayan antara 10 hingga 60 peratus daripada wang yang dilaburkan.
Skim pelaburan kutu itu hingga kini sudah menyebabkan kerugian dianggarkan RM50 juta dipercayai membabitkan lebih 1,000 mangsa seluruh negara.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, seramai lapan individu termasuk dalang utama sindiket skim simpanan yang dikenali sebagai Sapiza Saving Extra (SSE) berjaya ditahan pihak polis pada 27 Januari lalu.
Beliau dilaporkan berkata, kesemua mereka terdiri daripada dua lelaki dan enam wanita berusia dalam lingkungan 31 hingga 37 tahun di sekitar Kuala Lumpur, Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan.
Katanya, sehingga kini, sejumlah 116 laporan polis telah diterima melibatkan nilai kerugian berjumlah RM4,438,300.
“Siasatan awal mendapati skim ini telah mula aktif sejak tahun 2015 dengan menawarkan simpanan berasaskan ‘Permainan Kutu’.
Namun bermula pada tahun 2021, skim ini mula menawarkan beberapa pelan simpanan baharu iaitu pelan serendah RM250 sehingga RM20,000 merangkumi tempoh simpanan antara dua hingga lima bulan,” katanya. – UTUSAN