Kritik pemimpin kerajaan demi kebaikan

Kritik pemimpin kerajaan demi kebaikan, bukan ‘tembak kaki sendiri’

MOHD PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menafikan tindakannya menegur Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, Khamis lalu satu perbuatan ‘menembak kaki sendiri’.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu sebaliknya berkata, apa yang dilakukan adalah menegur untuk kebaikan kerajaan sendiri, selain bersikap realistik.

“Saya dituduh tembak kaki sendiri. Apakah meminta Rafizi mengemukakan formula yang realistik dan luar biasa dianggap tembak kaki sendiri. Apakah mendesak menteri supaya ‘perform’ dianggap tembak kaki sendiri, apa salahnya Rafizi ditegur.

“Kalau dia luar biasa, Kerajaan Perpaduan tambah kukuh,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Khamis lalu, Mohd. Puad mengecam Menteri Ekonomi itu kerana gagal mengemukakan sebarang langkah pemulihan ekonomi yang signifikan untuk membantu rakyat dan negara.

Jelas beliau, seorang menteri mesti memo pemikiran luar biasa untuk mempertahankan kerajaan perpaduan hari ini dan apabila menjadi menteri tidak boleh biasa-biasa sahaja, sebaliknya perlu luar biasa.

Ekoran kenyataan tersebut, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajid Dusuki menegur tindakan Mohd. Puad yang dikatakan menyerang sesama anggota dan pemimpin kerajaan umpama ‘menembak kaki sendiri’.

Sehubungan itu, Mohd. Puad mempersoal kenyataan Asyraf Wajdi bahawa apa yang dimaksudkan dengan menembak di kaki sendiri.

“Apa maksud tembak kaki sendiri. Tidak boleh dikritik, tidak boleh ditegur, tidak boleh beri pandangan. Tugas saya bukan menghasut. Saya tidak ambil pun tugas lama Rafizi.

“Tembak kaki sendiri ialah bila menteri tidak ‘perform’, gagal buat benda luar biasa dan formulanya tidak boleh dipakai. Itu lemahkan kerajaan.

“Saya boleh dituduh tembak kaki sendiri bila takut bersuara dan kelemahan dibiarkan berleluasa. Sebab itu saya lain dari yang lain,” jelasnya lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN