PETALING JAYA: Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (KPPLPPM) membantah sekeras-kerasnya cadangan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing untuk melantik pihak luar dalam pentadbiran dan pengeoperasian Tourism Malaysia di dalam dan luar negara.
Presidennya, Alwi Shakir berkata, urus tadbir Tourism Malaysia hendaklah dilaksanakan berlandaskan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa termasuk dalam melantik dan menempatkan kakitangan di pejabat-pejabat dalam dan luar negara.

Jelasnya, hal tersebut telah dibincangkan dan dipersetujui sebelum ini di antara pihak kesatuan dan pengurusan di dalam Majlis Bersama Jabatan (MBJ) dalam penetapan kriteria-kriteria pemilihan, pelantikan dan penempatan pegawai-pegawai Tourism Malaysia.
“Melantik pihak luar yang tidak mempunyai latar belakang pentadbiran kerajaan mahupun industri pelancongan akan menimbulkan permasalahan dalam urusan perolehan dan tatacara kewangan kerajaan yang kompleks. Ia memerlukan pemahaman yang amat mendalam sebelum sesuatu proses perolehan dilaksanakan.
“Pegawai kerajaan yang berpengalaman lebih 20 tahun juga sering kali menerima teguran audit dalam hal perolehan, apatah lagi seseorang yang tidak mempunyai pemahaman sistem kerajaan ingin dilantik oleh menteri kononnya untuk mengetuai pejabat-pejabat Tourism Malaysia.
“Peranan seorang penjawat awam bukan sahaja berkisar kepada pelaksanaan agenda kerajaan bahkan perlu menjaga hubungan diplomasi di antara kerajaan dan pemain industri, kerajaan dan agensi kerajaan, kerajaan dan kerajaan negeri serta kerajaan dan kerajaan lain,” katanya dalam surat bantahan semalam.
Jelas Alwi Shakir, KPPLPPM ingin memetik ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini bertarikh 29 November 2022 iaitu peringatan kepada barisan Kabinet untuk sama sekali tidak mencampuri dan mengganggu urus tadbir seharian agensi kerajaan.
Justeru, katanya, arahan menteri terhadap cadangan yang tidak mempunyai asas, tidak rasional dan bersifat menjurus kepada spekulasi kepentingan individu juga akan mengganggu hal ehwal kebajikan kakitangan Tourism Malaysia terutama dari segi pembangunan karier kerana ia akan menutup peluang kenaikan pangkat dan juga pusingan kerja.
Ujarnya, situasi ini akan mewujudkan suasana tidak harmoni dalam persekitaran kerja dan akhirnya membawa kepada permasalahan kesihatan mental penjawat awam.
“Para pegawai Tourism Malaysia hanya bergantung harap terhadap kenaikan pangkat dan pusingan kerja dalam memperbaiki taraf kehidupan mereka memandangkan skim perkhidmatan masih belum ditambah baik oleh pihak kerajaan.
“Jikalau perkara ini terjadi, adakah Kerajaan Perpaduan pada hari ini sekali lagi menjadi kerajaan yang memberhentikan dan menamatkan anggota perkhidmatan awam?” katanya.
Beliau menambah, pihak kesatuan tidak teragak-agak untuk melaksanakan tindakan perusahaan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Sekerja untuk melaksanakan piket dan mogok seandainya menteri masih berkeras dan menekan Tourism Malaysia untuk melaksanakan arahan tersebut.
“Arahan-arahan yang dikeluarkan secara membuta tuli dan tanpa melalui sebarang rundingan dengan pihak pekerja merupakan satu tindakan yang membelakangkan Konvensyen 98 Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan hak berunding yang diamalkan di Malaysia melalui Akta Kesatuan Sekerja dan Akta Perhubungan Perusahaan,” jelasnya. – UTUSAN










