PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengarahkan supaya dua syarikat pengeluar gula, MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR) supaya menghantar laporan harian berhubung pengeluaran gula di kilang masing-masing.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah tersebut mula dilaksanakan sejak Mei lalu bagi memastikan jaminan bekalan gula di pasaran tidak terjejas.
Beliau berkata, kedua-dua syarikat juga telah memberi jaminan bahawa bekalan gula mencukupi terutama di negeri-negeri Pantai Timur.
“Pada masa sama, KPDN juga akan mempergiatkan penguatkuasaan di sempadan negara bagi mengelakkan ketirisan subsidi terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha minggu depan.
“Kita akan memantau serius perkara itu khususnya di negeri-negeri yang bersempadan dengan negara jiran,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan KPDN di sini, hari ini.
Katanya, bekalan gula ketika ini stabil malah, tiada aduan diterima sejak beberapa hari dan ia berlaku disebabkan pemeriksaan secara berkala di peringkat pemborong serta runcit menerusi Op Manis baru-baru ini.
Berhubung perkembangan isu kenaikan harga susu formula bayi di pasaran pula, Salahuddin berkata, pihaknya mendapati trend kenaikan harga segmen itu bermula sejak 2018 lagi.
Menurutnya, semua pihak perlu memahami bahawa bahan mentah bagi menghasilkan susu formula diimport dari luar negara dan harganya mengikut pasaran dunia.
“Saya sudah bertemu dengan wakil dan pihak industri berhubung isu itu semalam dan mereka memberi jaminan untuk berkongsi berita baik mengenai perkara itu sehari dua lagi.
“Jika susu formula bayi menjadi isu mungkin kita boleh tumpu (menurunkan harga) kepada segmen susu formula bukan untuk bayi atau susu untuk dewasa dan kanak-kanak,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kenaikan mendadak harga susu formula kanak-kanak antara RM10 hingga RM30 yang amat memberi bebanan kepada ibu bapa sedangkan dalam masa sama, harga lampin pakai buang dan yuran bulanan taska serta prasekolah pula turut meningkat. – UTUSAN










