Konstabel polis ditahan bantu siasatan cubaan rogol remaja dalam tandas - Utusan Malaysia

Konstabel polis ditahan bantu siasatan cubaan rogol remaja dalam tandas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis menahan seorang anggotanya yang berpangkat konstabel bagi membantu siasatan cubaan merogol remaja perempuan berusia 19 tahun, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kejadian sekitar pukul 2.30 pagi itu berlaku di tandas sebuah stesen minyak di Jalan Tun Abdul Razak.

Katanya, suspek berusia 23 tahun dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah itu ditangkap susulan laporan polis dibuat mangsa.

“Suspek direman lima hari bermula hari ini sehingga Khamis depan.

“Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan merogol,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kertas siasatan kes sedang dikemaskini dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes itu sehingga menjejaskan siasatan polis.

“Pihak polis memandang serius terhadap integriti dan tingkah laku warga PDRM dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN