Kesesakan di Cameron Highlands makin kronik

Kesesakan di Cameron Highlands makin kronik

KEADAAN kesesakan trafik di Cameron Highlands semasa cuti sekolah baru-baru ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini menyifatkan kesesakan lalu lintas yang dihadapi pelancong yang bercuti di tanah tinggi itu terutama setiap kali musim cuti sekolah semakin parah.

Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), A. Dilip Martin berkata, ini kerana kesesakan trafik yang dialami menyebabkan pelancong terperangkap dalam kenderaan dalam tempoh yang terlalu untuk sampai ke destinasi masing-masing, seperti yang berlaku pada hujung minggu lalu ketika cuti persekolahan yang berakhir kelmarin.

Menurutnya, kesesakan trafik di kawasan pelancongan itu biasanya berlaku di Tringkap, Kea Farm, Brinchang dan Tanah Rata.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, sebagai contoh, pada hari biasa, perjalanan dari dari Tanah Rata ke Kea Farm mengambil masa tidak sampai 10 minit, namun disebabkan kesesakan trafik, jarak yang sama kadang kala mengambil antara dua hingga tiga jam.

“Masalah kesesakan trafik di tanah tinggi ini yang berlaku semasa musim cuti sekolah semakin serius disebabkan kekurangan parkir.

“Kerana kurang parkir, pengunjung meletakkan kenderaan mereka di tepi-tepi jalan, tempat-tempat tumpuan pelancong seperti di Kea Farm, Brinchang dan Tanah Rata tidak disediakan parkir yang secukupnya.

“Masalah kesesakan trafik boleh dikurangkan jika pembangunan di sini mengambil kira pembinaan parkir,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, pembangunan di tanah tinggi itu sepatutnya sama nisnah di antara pembinaan kedai dengan tempat meletak kenderaan.

Katanya, jika parkir disediakan pun, ia terletak jauh dari kawasan tumpuan seperti di Kea Farm.

“Kami penduduk Cameron Highlands tidak keluar semasa kawasan ini dibanjiri pelancong kerana sudah pasti akan terperangkap dalam kesesakan trafik, kami hanya keluar kalau terpaksa dan biasanya kami guna motosikal tapi berapa ramai yang ada motosikal.

“Kadang-kadang jika berlaku kemalangan atau kecemasan, akibat kesesakan trafik, ambulans atau jentera bomba sukar nak sampai ke lokasi kejadian,” katanya.

Mengenai pengumuman rancangan kerajaan untuk membina jalan baharu dari Habu ke Tanah Rata di sini dengan kos RM480 juta bagi mengatasi kesesakan di kawasan tanah tinggi itu seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2023, Dilip Martin berkata, rancangan itu perlu dikaji semula kerana laluan tersebut bukan lokasi berlakunya kesesakan trafik malah tidak pernah berlaku kesesakan di laluan itu.

“Masalah kesesakan trafik di sini bukan disebabkan masalah jalan raya tetapi kerana kekurangan tempat letak kenderaan.

“Dalam hal ini kerajaan perlu membina lebih banyak tempat letak kenderaan untuk pelancong serta fasiliti lain di satu lokasi yang sesuai seperti parkir bertingkat.

“Kesesakan trafik di sini disebabkan tiada tempat letak kenderaan. Gerai banyak dibina tetapi tiada tempat parkir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini