Kes pegawai kanan Menteri Sumber Manusia di peringkat akhir

SPRM tidak lengahkan siasatan, kes pegawai kanan Menteri Sumber Manusia di peringkat akhir

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan membabitkan kes rasuah pengambilan pekerja asing yang melibatkan pegawai kanan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat ini. 

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kes tersebut dalam peringkat akhir siasatan dan pihaknya akan mengemukan kertas siasatan ke TPR apabila ia selesai. 

Malah, katanya, pihaknya tidak pernah melengah-lengahkan siasatan terhadap mana-mana pihak. 

“Siasatan mereka di kementerian tersebut sedang dijalankan di peringkat akhir, apabila selesai kita akan kemukakan ke TPR untuk dikaji. 

“Kita tidak boleh nak kata bila tetapi dalam masa terdekat ini. Mungkin dalam tempoh dua minggu,” katanya selepas merasmikan Hari Integriti WTCKL 2023, di sini hari ini. 

Bagaimanapun, menurut Azam, semuanya bergantung kepada TPR untuk tindakan selanjutnya. 

“Bergantung kepada TPR untuk kaji, kadang-kadang ada perkara perlu diperkemaskan akan dihantar semula kepada kami,” katanya. 

Mei lalu, Sivakumar mengesahkan bahawa lima pegawainya yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah ditamatkan kontrak.

Sivakumar dilaporkan berkata, pemecatan lima pegawainya yang terpalit dalam skandal rasuah membabitkan pengambilan pekerja asing itu dilakukan bagi memastikan kementerian dapat berfungsi dengan lancar.

April lalu, akhbar ini melaporkan SPRM menahan dua pegawai kanan Sivakumar membabitkan isu rasuah dalam sebuah agensi pengambilan pekerja asing. 

Susulan penahanan pegawainya ketika itu, Sivakumar dilaporkan menggantung tugas tiga pegawai kanannya termasuk seorang setiausaha sulit dan seorang pegawai tugas-tugas khas (PTTK) yang ditahan SPRM.

Turut dilaporkan, SPRM menggeledah pejabat dan kediaman Sivakumar, namun Menteri Sumber Manusia itu kemudian menafikan perkara itu, di samping menegaskan akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.

SPRM turut dilaporkan mengambil kenyataan Sivakumar berhubung siasatan kes rasuah mengenai pengambilan pekerja asing itu pada 16 April lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN