Kes Ebit Lew: Saksi analisis video perbualan group Whatsapp

Kes Ebit Lew: Saksi analisis video perbualan group Whatsapp, gambar lucah

LATIFAH Abdul Aziz hadir sebagai saksi perbicaraan kes Ebit Lew di Mahkamah Majistret Tenom hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENOM: Saksi ketujuh perbicaraan kes gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 37, hari ini memberitahu mahkamah sebuah lagi telefon bimbit iaitu jenis OnePlus yang dianalisis mempunyai video memaparkan perbualan dalam kumpulan Whatsapp yang mengandungi gambar berunsur seksual atau lucah.

Juruanalisis Kanan Siasatan Audio Video PDRM, Asisten Superitendan Latifah Abdul Aziz, 43, berkata, video perbualan dalam aplikasi Whatsapp itu dikeluarkan daripada telefon bimbit jenis OnePlus yang bertanda S1 pada 22 Oktober 2021.

“Saya keluarkan barang kes (telefon bimbit OnePlus) untuk dijalankan analisis pada 22 Oktober 2021.

“Selepas selesai proses analisis, saya dapati ada video berkait permohonan pegawai penyiasat dan video tersebut saya salin dalam cakera padat (CD) untuk dibekalkan kepada pegawai penyiasat.

“Laporan analisis itu saya serahkan kepada Pegawai Penyiasat Superitendan Noor Asyikin pada 26 Oktober 2021 serta borang akuan penyerahan barang kes yang ditandatangan antara saya dan Superitendan Noor Asyikin,” katanya di Mahkamah Majistret hari ini.

Menurut Latifah, hasil analisis dijalankan, beliau menemukan satu video yang memaparkan perbualan dalam aplikasi kumpulan Whatsapp yang mengandungi gambar berunsur seksual yang berkait dengan permohonan pegawai penyiasat.

Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad jika barang kes ada dikeluarkan sejak diterima pada 8 Oktober 2021 hingga tarikh analisis dijalankan pada 22 Oktober 2021, saksi ketujuh itu memberitahu barang kes iaitu telefon bimbit jenis OnePlus bertanda S1 itu tidak pernah dikeluarkan daripada kabinet yang disimpan di dalam bilik di pejabatnya.

Walau bagaimanapun, saksi tidak sempat menerangkan kandungan video yang diperoleh daripada telefon bimbit jenis OnePlus tersebut hari ini kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan untuk terus memberi keterangan.

Dalam pada itu, semasa menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria mengenai dua keping gambar yang sama dalam telefon bimbit bertanda NA-1, Latifah berkata, daripada metadata yang dikeluarkan, kedua-dua gambar berada dalam dua folder berlainan 

Katanya, daripada metadata yang dikeluarkan, kedua-dua gambar ada dalam folder Whatsapp Images dan folder sent dan ia menunjukkan kedua-dua gambar telah dihantar atau dikongsi oleh pengguna telefon bimbit tersebut.

Jelas beliau, pengguna telefon telah berkongsi gambar yang sama sebanyak dua kali berdasarkan saiz gambar yang berbeza.

Dalam perbicaraan sebelum ini, mahkamah merekodkan telefon bimbit jenis Samsung Galaxy A31 yang bertanda NA-1 adalah telefon yang dirampas daripada pengadu dalam kes berkenaan.

Mengambil maklum keadaan saksi yang kurang sihat, Majistret Nur Asyraf Zolhani menangguhkan perbicaraan hari ini dan perbicaraan akan diteruskan seperti dipersetujui sebelum ini iaitu pada 16 hingga 18 Ogos. Tarikh baharu turut ditetapkan iaitu pada 26 hingga 29 September.

Ebit berhadapan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.

Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya