Kerajaan Pusat perlu bantu Pulau Pinang kurangkan risiko gangguan air - Utusan Malaysia

Kerajaan Pusat perlu bantu Pulau Pinang kurangkan risiko gangguan air

SUNGAI Muda yang merupakan sumber air mentah utama bagi penduduk Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Pulau Pinang amat memerlukan sokongan serta bantuan Kerajaan Pusat untuk menyiapkan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) dan melaksanakan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan berkata, ini kerana
Pulau Pinang kekal berisiko mengalami gangguan bekalan air yang besar apabila berlaku kejadian melibatkan Sungai Muda.

K. PATHMANATHAN

Jelas beliau, insiden Sungai Muda pada Mei baru-baru ini yang menyebabkan kesulitan kepada 453,954 pengguna air di Pulau Pinang menekankan betapa pentingnya MDEP dan SPRWTS.

”Satu lagi insiden Sungai Muda sekiranya berlaku sudah pasti akan menjejaskan bekalan air sehingga 453,954 pengguna di Pulau Pinang (termasuk syarikat pembuatan multinasional yang beroperasi di Zon Perdagangan Bebas Bayan Lepas, Taman Perindustrian Batu Kawan dan Kawasan Perindustrian Bukit Minyak),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 14 Mei lalu, lebih 250,000 akaun pengguna bekalan air di beberapa daerah di Kedah dan Pulau Pinang terjejas ekoran penurunan mendadak paras air Sungai Muda berpunca daripada kerosakan pintu kawalan air (pintu barrage) Sungai Muda.

Menurut Pathmanathan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan PBAPP tidak dapat secara langsung dan sepenuhnya mengurangkan risiko kejadian daripada berulang.

Jelas beliau, ini kerana Pulau Pinang hanya mempunyai satu sumber air mentah utama iaitu Sungai Muda dan PBAPP mengabstrak air mentah daripada sungai di Lahar Tiang di Seberang Perai.

”Sebahagian daripada Sungai Muda terletak dalam wilayah Kedah dan kawasan tadahan air sungai ini (Kompleks Hutan Ulu Muda) juga terletak di Kedah serta di luar bidang kuasa kerajaan negeri Pulau Pinang dan PBAPP,” katanya.

Tambah beliau, pembangunan sumber air mentah untuk Pulau Pinang adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat dan perkhidmatan bekalan air juga dikawal selia oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Akta Industri Bekalan Air 2006 (Akta 655) dan Akta SPAN 2006 (Akta 654).

”Hanya Kerajaan Pusat yang mempunyai dana, kuasa tadbir dan sumber untuk membolehkan projek penyaluran air mentah antara negeri seperti SPRWTS,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, tanpa MDEP dan SPRWTS yang lengkap, rakyat Pulau Pinang akan menghadapi kesulitan apabila berlaku kejadian yang melibatkan Sungai Muda.

”Oleh itu, bagi pihak rakyat dan perniagaan Pulau Pinang, PBAPP ingin merayu kepada Kerajaan Pusat untuk campur tangan dalam mengurangkan risiko air kita secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya