Kerajaan lulus RM3.46 juta, naik taraf enam kemudahan awam di Ipoh - Utusan Malaysia

Kerajaan lulus RM3.46 juta, naik taraf enam kemudahan awam di Ipoh

NGA Kor Ming (kanan) meninjau Pasar Kampung Simee di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM3.46 juta bagi enam projek naik taraf kemudahan awam di kawasan Parlimen Ipoh Barat dan Ipoh Timur.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sebanyak RM2.46 juta daripada jumlah itu disediakan oleh kementeriannya manakala selebihnya merupakan peruntukan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Menurutnya, peruntukan tersebut melibatkan beberapa kerja menaik taraf infrastruktur termasuk di Pasar Awam Kampung Simee di sini.

“Peruntukan yang diluluskan ini merupakan performance-based budget atau peruntukan yang berlandaskan kepada pelaksanaan bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap kesejahteraan rakyat dapat terus dipertingkatkan. Tidak ada pembaziran, ketirisan dan pemborosan.

“KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di seluruh negara bagi merealisasikan perancangan pembangunan demi meningkatkan mutu perkhidmatan serta kesejahteraan rakyat,” katanya kepada pemberita ketika melawat Pasar Awam Kampung Simee di sini hari ini.

Menurutnya, selain naik taraf pasar awam bernilai RM1 juta, peruntukan tersebut turut membabitkan penggantian salur air di Dataran Niaga Taman Cempaka dan menaik taraf jalan termasuk kerja-kerja pelebaran di Persiaran Lapangan Siber 1, Bandar Seri Botani.

Katanya, peruntukan tersebut turut digunakan menaik taraf Jalan Sungai Pari, Buntong, menaik taraf jalan serta kerja-kerja berkaitan di kawasan Rumah Pangsa First Garden, Silibin dan membina longkang baharu di Lorong Isaac, Buntong.

“Kesemua projek berkenaan akan dimulakan pada Julai 2023 oleh MBI dan dijangka disiapkan seawal hujung tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Kor Ming turut mengalu-alukan kehadiran francais ternama antarabangsa Hard Rock Cafe untuk membuka cawangan di Ipoh bagi membantu merancakkan lagi pembangunan bandar raya ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya