Kelantan hanya perlu 500 berbanding 2,000 JLH air diminta - Utusan Malaysia

Kelantan hanya perlu 500 berbanding 2,000 JLH air diminta

Air Kelantan
NIK Nazmi Nik Ahmad ditemui pemberita pada Majlis Taklimat Kerjasama Landasan Lumayan Sdn. Bhd. dengan Menteri Besar (Diperbadankan) (MBI) bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Jaringan Malaysia dan Brunei, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kerajaan Negeri Kelantan didakwa meminta pembangunan fasiliti bagi meningkatkan pengeluaran pengedaran air bersih kepada penggunanya sehingga 2,000 juta liter sehari (JLH) berbanding keperluan semasa kira-kira 500 JLH.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, permintaan tersebut dikemukakan dalam mesyuarat pertama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, permintaan pembangunan tersebut menyebabkan negeri pantai timur itu memohon peruntukan sehingga RM8 bilion bagi pembinaan lima loji rawatan dan penyimpanan air.

“Sebenarnya keperluan di Kelantan tidaklah begitu besar sangat, tetapi yang mereka hendak itu berkali ganda, saya ingat 500 JLH, mereka hendak tambah hampir 2,000 JLH, itu yang jadi RM8 bilion.

“Jadi, sebab itu kita hendak tengok balik, apa yang immediate dan perlu, pada masa sama apa yang perlu seiring dengan pembinaan loji rawatan air adalah mengatasi masalah air bersih tidak terhasil (non-revenue water (NRW)).

“Sebab masalah NRW, yalah.. kalau kita bina loji rawatan air, kalau banyak bocor maka tak akan sampai kepada pengguna,” katanya ketika ditemui pada Majlis Taklimat Kerjasama Landasan Lumayan Sdn. Bhd. (LLSB) dan Menteri Besar (Diperbadankan) (MBI) bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Jaringan Malaysia dan Brunei, hari ini.

Beliau menambah, Exco Kerajaan Negeri Kelantan, pengurusan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) dan bekas Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengakui isu yang dihadapi negeri itu berpunca daripada masalah tadbir urus.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan Kelantan mengemukakan pelan bernilai RM8 bilion kepada Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek mengatasi masalah bekalan air bersih di negeri itu.

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan tidak bersetuju dengan permohonan tersebut apabila Perdana Menteri memaklumkan angka tersebut boleh dikurangkan dan kerajaan perlu meneliti keperluan negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Nik Nazmi turut menjelaskan Kerajaan Persekutuan sedia membantu dari sudut pematuhan undang-undang bagi menyelesaikan krisis bekalan air yang melanda Kelantan dan juga Sabah.

“Sama ada di peringkat Semenanjung kita terikat dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Wasia) di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), kalau di peringkat Sabah di kuasa kerajaan negeri, tetapi yang Perdana Menteri tekankan ialah, kita ada tanggungjawab untuk bantu Sabah.

“Jadi, semua itu sedang dalam proses dan kita lihat bagaimana cara terbaik, apa keutamaan projek yang mungkin kita boleh laksanakan untuk menyelesaikan secara tuntas masalah air di kedua-dua negeri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya