Air bersih: Kelantan kemuka pelan RM8 bilion

Air bersih: Kelantan kemuka pelan RM8 bilion

Anwar Ibrahim menyerahkan replika kunci kepada salah seorang pembeli Projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Dalur Madani di Presint 18, Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kelantan mengemukakan pelan bernilai RM8 bilion kepada Kerajaan Pusat bagi melaksanakan beberapa projek untuk mengatasi masalah bekalan air bersih di negeri itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, permohonan dana itu melibatkan beberapa pelaksanaan projek bekalan air bersih yang sangat mendesak ketika ini.

Namun katanya, beliau belum memutuskan persetujuan terhadap pelan itu kerana ia perlu dibincangkan menerusi pasukan petugas khas yang akan meneliti terlebih dahulu dengan tepat keperluan dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi seperti aspek pengurusan dan ketelusan dalam pelaksanaan projek berkenaan.

“Apa yang penting, (keputusan) daripada apa-apa pertimbangan lain adalah tanggungjawab kita memastikan rakyat memperoleh kemudahan air bersih dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madani Dalur, di sini semalam.

Menurut beliau, masalah bekalan air di Kelantan adalah lebih serius berbanding di Sabah apatah lagi keperluan kewangan sangat tinggi bagi pelaksanaan projek penyelesaian masalah berkaitan.

Perdana Menteri dalam pada itu berkata, Kelantan dan Sabah setuju bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha menyelesaikan isu bekalan air di dua negeri itu.

Menurut Anwar, perkara itu dicapai menerusi mesyuarat khas bersama Menteri Besar Kelantan dan Ketua Menteri Sabah semalam dengan menetapkan beberapa tindakan segera bagi menyelesaikan isu mendesak itu dengan peruntukan dana disediakan Kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu beliau meminta Kerajaan Negeri Kelantan untuk memastikan aspek pengurusan lebih telus dan efisien serta mereka mesti bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan sekali gus menerima segala keputusan secara bersama.

“Kerajaan Negeri tidak boleh lagi bekerja secara silo kerana memerlukan dana yang tinggi, jadi mereka perlu memastikan penyaluran bekalan air bersih benar-benar sampai kepada rakyat.

“(Kelantan) tidak ada bekalan rizab air, tetapi mereka memohon 100 peratus keperluan itu, namun kita lihat tiada keperluan sebanyak itu,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri memberikan tempoh masa seminggu kepada pasukan petugas khas itu untuk mengemukakan strategi segera bagi menyelesaikan isu tersebut.

Sementara itu Anwar berkata, dasar sedia ada yang mewajibkan pemaju memperuntukkan sebahagian daripada projek pembangunan mereka untuk pembinaan rumah mampu milik akan dikaji semula.

Ini kerana katanya, kerajaan melihat dasar itu seolah-olah tidak ‘berjalan’ mengikut jadual dan skala yang diperlukan daripada pihak pemaju.

Justeru, kata beliau, kerajaan akan memperkenalkan beberapa syarat baharu yang lebih ketat kepada pemaju bagi memastikan peruntukan pembinaan projek perumahan mampu milik benar-benar dilaksanakan.

“Kenapa mesti kerajaan hanya menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat sedangkan kita ada pemaju yang membina projek besar? Ini kerana ia merupakan sebahagian tanggungjawab mereka untuk membina perumahan mampu milik,” katanya.

Mengenai kejatuhan nilai matawang ringgit negara, Anwar berkata, perkara itu tiada kena-mengena dengan ketiadaan seorang Menteri Kewangan yang ‘bekerja’ sepenuh masa sebaliknya disebabkan dasar Amerika Syarikat (AS) yang mempengaruhi kedudukan matawang negara.

Projek PPAM Madani Dalur dibangunkan Perbadanan Putrajaya menerusi pemaju TRC Land Sdn. Bhd. yang mempunyai sejumlah 500 unit kediaman dengan keluasan lantai 1,000 dan 1,200 kaki persegi.

Menerusi kenyataan Perbadanan Putrajaya, harga jualan yang ditawarkan adalah tidak melebihi RM260,000 seunit iaitu lebih rendah daripada harga pasaran tidak termasuk kos nilai tanah di Putrajaya.

Pembangunan PPAM Madani Dalur turut merangkumi kemudahan seperti surau, sudut bacaan al-Quran, dewan serbaguna, tadika, taska, ruang niaga, gelanggang badminton, taman permainan kanak-kanak dan tempat letak kereta berbumbung bagi memastikan persekitaran hidup yang lebih kondusif dan berkualiti.

Sehingga kini, sebanyak 9,480 unit PPAM yang melibatkan 11 tapak projek pembangunan di Presint 5, 6, 11, 16, 17 dan 18 siap dibina sepenuhnya di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN