PETALING JAYA: Keadaan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau Mat London, 74, yang menerima rawatan di Unit Rawatan rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL), masih kritikal.
Perkembangan terkini itu dimaklumkan oleh bekas isterinya, Datin Fadilah Mansor, 65, yang memaklumkan Mat London terpaksa ditidurkan berikutan keadaan paru-paru, jantung serta buah pinggang gagal berfungsi dengan baik dan sangat lemah.
Katanya, pihak doktor juga sudah dua kali memanggil anak-anak berkumpul di hospital supaya bersedia dengan sebarang kemungkinan.
“Doktor banyak berjumpa dengan anak dan setakat ini, anak perempuan saya maklumkan papanya masih kritikal.
“Anak cakap doktor ada beritahu perkara lain juga, tetapi apa-apa kita berserah pada ketentuan Allah. Doktor ada panggil anak-anak datang ke hospital sebanyak dua kali iaitu semalam dan pagi tadi.
“Pihak doktor tidak dapat menjamin apa-apa dan hanya mampu melakukan yang terbaik ketika ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadilah yang mempunyai dua anak dengan bekas suami berkata, anak perempuan dan menantu termasuk anak saudara serta rakan-rakan Mat London di FDAM sentiasa berulang-alik ke hospital.
Namun katanya, anak lelakinya masih di Australia dan belum berkesempatan pulang untuk melawat ayahnya di hospital.
“Anak lelaki baru pergi ke Australia empat bulan lalu, sebab ikut isteri yang bekerja sebagai doktor di sana.
“Dia pun bekerja di sana juga, tetapi dapat buat panggilan video melihat keadaan papanya di hospital,” katanya.
Terdahulu, pengarah dan pelakon itu dimasukkan ke ICU HKL akibat jangkitan paru-paru, sejak 16 Jun lalu.
Selepas dirawat di wad biasa, Mat London kemudian dipindahkan ke wad pengasingan susulan keadaan kesihatan yang semakin merosot, sebelum dipindahkan ke wad ICU untuk pemantauan rapi.