“MEDIA sosial ini tempat yang jahat. Orang boleh perkatakan apa sahaja. Dulu, saya cepat melatah. Sekarang saya biarkan sahaja.”
Demikian kata Siti Khadijah Halim, tenang menjawab soalan yang diajukan semasa sesi penggambaran muka depan Pancaindera yang meriah dipenuhi bunga-bunga.
Sambil memperkemas solekan hasil sentuhan El Manda Zuhairy, gadis yang mesra disapa sebagai Siti itu tidak berhenti tersenyum. Bersedia untuk dibidik kamera.
Kami faham, dia cuba tidak terguris dengan kata sindirin warga maya di internet. Terkini, dia tular dikatakan antara pelakon yang tidak begitu disenangi.
Media sosial sudah ibarat pentas terbuka. Masing-masing mahu berebut perhatian memastikan lampu limpah hanya bersimbah ke wajah mereka.
Namun kita lupa, terlalu terang cahaya boleh membuat seseorang buta. Tak nampak yang mana menawarkan cinta dan yang mana menyala sengketa.

Bukan kali pertama pelakon berumur 26 tahun ini menjadi bahan bualan. Bahkan sejak aktif menggunakan media sosial ketika usia 16 tahun, dia sudah pernah menerima ugutan bunuh.
“Sebab itu saya jarang tunjukkan siapa ahli keluarga saya di media sosial. Bukan apa, sekiranya ada kata-kata hinaan, atau tuduhan yang dilemparkan warganet, saya tidak mahu mereka terkena tempiasnya. Biarlah saya seorang sahaja yang menghadapinya kerana saya sudah biasa.
“Sejak kecil lagi saya pernah menerima komen Ibu saya silap melahirkan saya. Dia patut flush saya di dalam tandas. Ada yang kata saya tak patut hidup. Ada yang ejek cara percakapan saya sedangkan ibu saya seorang guru bahasa Inggeris. Saya sudah terbiasa bercakap dengan gaya begini yang kedengaran ala-ala sebutan Inggeris sejak kecil,” jelasnya lagi.
Ditanya apa yang membuatkannya bertahan dan kekal tenang setiap kali menjadi bahan ajukan masyarakat di internet, Siti mengakui kuncinya adalah doa.
“Saya sudah dengar dan dapat macam-macam hinaan sejak saya kecil. Hari ini di usia saya 26 tahun, saya masih hidup. Ya, saya akan menangis, tapi saya tak ‘gugur’ dengan kata-kata itu. Ia mungkin gugurkan mereka, tapi bukan saya.
“Saya tidak mahu kedengaran terlalu alim, tapi kunci kekuatan saya adalah doa. Setiap kali solat, saya akan berdoa. Tak tahu macam mana, ia seolah-olah bawa pergi semua kesedihan saya,” dedahnya.
Namun begitu, gadis kelahiran Kuala Lumpur ini faham. Bila sudah bergelar selebriti atau meraih populariti, dirinya pasti diperhati. Di sebalik sisi gelap dunia maya, dia juga tidak menolak bahawa platform itu jugalah yang banyak menaikkan namanya.
“Lucunya, ramai yang kenal saya menerusi TikTok, bukan daripada drama lakonan saya. Saya juga maklum, di zaman ini orang jarang menonton televisyen sebab semuanya beralih kepada platform penstriman.
“Sebab itu, saya selalu membawakan karakter lakonan saya ke dalam media sosial. Contohnya di Twitter, saya akan menulis ciapan mewakili karakter lakonan saya yang sedang ditayangkan di televisyen. Cara pelakon dahulu mungkin turun padang. Kini, kita lakukan dalam talian sesuai dengan peredaran masa.
“Bukan itu sahaja, kadangkala saya akan bawa pengikut laman sosial untuk beli barang keperluan penggambaran seperti pakaian. Ia sesuatu yang normal untuk produksi yang kadangkala mempunyai bajet yang terhad. Saya juga pernah buat video solekan di set agar mereka tahu bagaimana kerjaya seorang pelakon,” tambahnya.

HASRAT IBU, ENAM TAHUN MENUNGGU
DALAM dua tahun belakangan ini, nama Siti Khadijah Halim mula mencuri tumpuan apabila wajahnya banyak membintangi watak utama drama siaran waktu perdana yang menjadi dambaan ramai pelakon.
Bahkan, tidak keterlaluan untuk dikatakan Siti adalah antara pelakon muda yang dilihat menonjol dan ‘panas’ selepas membintangi drama Ash & Aish dan Sekali Lagi Cinta Kembali. Siti mengakui perjalanannya tidak mudah, dia menunggu enam tahun selepas debut pertamanya dalam industri seni tanah air sejak memenangi pertandingan Gadis Panca 2017.
“Saya tak mahu orang menganggap saya mudah menjadi pelakon hanya kerana saya dahulunya seorang pempengaruh. Sebab itu, saya menyertai Gadis Panca.
“Sebenarnya waktu itu saya berbelah bagi, namun ibu banyak mendorong saya dan yakinkan saya untuk mencuba. Kemudian rezeki memihak kepada saya. Kemenangan itu membuka peluang kepada saya untuk berlakon di bawah sebuah produksi.
“Tapi sejujurnya, memasuki industri lakon layar tidak mudah. Waktu di awal penglibatan saya selalu menangis. Ia industri yang sukar. Saya pernah dilayan teruk hanya kerana saya bukan sesiapa. Saya bukan anak mana-mana penerbit dan tidak mempunyai pengikut ramai di media sosial.
“Semua itu menjadikan saya berusaha lebih keras. Selepas enam tahun Alhamdulillah karier saya semakin berkembang,” ceritanya.

BUKAN SEKADAR ‘ONE-HIT WONDER’
SITI mengakui, tidak banyak yang berjodoh panjang dalam bidang lakonan. Ada yang namanya meledak selepas beberapa projek kemudian senyap tiada khabar berita.
Baginya, tak mengapalah kalau lambat mendakap populariti sekalipun asalkan tidak sekadar menjadi ‘one-hit wonder’, diingati sekejap sahaja.
“Bagi saya enam tahun adalah masa yang okay, tidak terlalu sekejap dan lama. Kadangkala, ia bergantung juga kepada projek. Kalau naskhah itu berjaya, ia akan beri tempias kepada para pelakonnya.
“Saya ingin kekal menjadi pelakon walaupun umur saya sudah menginjak 36 tahun.
“Impian saya besar, ingin menjadi pelakon yang menjejakkan kaki ke Hollywood. Diundang ke Festival Filem Cannes. Saya ingin menjadi seperti Tan Sri Michelle Yeoh walau harus menunggu bertahun-tahun,” katanya.










