jerebu: Kerajaan pantau, sedia ambil tindakan lanjut

Jerebu: Kerajaan pantau, sedia ambil tindakan lanjut

NIK Nazmi Nik Ahmad (tengah) melakukan gimik pelancaran inisiatif penjenamaan semula Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) di Kuala Lumpur. Hadir sama Ahmad Tajuddin Ali (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff Corporation Berhad, Anwar Syahrin Abdul Ajib (dua dari kiri). - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersiap siaga berdepan sebarang peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) selepas mengadakan perbincangan merentas kementerian berkenaan isu jerebu serta ancaman El-Nino yang dijangka melanda negara bulan depan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan memantau dekat peningkatan suhu dalam negara dengan meningkatkan pemerhatian terhadap pembakaran terbuka yang turut menyumbang pada kemerosotan kualiti udara.

“Minggu lepas kita telah adakan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan melibatkan Jabatan Meteorologi, jabatan lain dan kementerian berkaitan seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Belia dan Sukan.

“Kita berada dalam fasa monsun barat daya sejak 15 Mei dan dijangka hingga September 2023 kita akan alami cuaca panas kering dan hujan berkurangan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penjenamaan Semula Malakoff Corporation di sini semalam.

Jelas Nik Nazmi, kebarangkalian El-Nino melanda negara amat tinggi berdasarkan ramalan agensi antarabangsa.

“Lebih 2,000 kes pembakaran terbuka direkodkan di seluruh negara sejak Januari lalu dan sekiranya kualiti udara terus merosot, kerajaan sudah bersiap siaga untuk mengambil tindakan selanjutnya.

“Kita juga memantau pembakaran terbuka, kalau mengikut statistik Jabatan Alam Sekitar, daripada 1 Januari hingga 31 Mei ada hampir 2,000 kes dan lima kes kebakaran skala besar iaitu hutan tanah gambut dan tempat pelupusan sampah dan tempat pelupusan sampah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Malakoff Corporation Berhad (Malakoff), Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali berkata, penjenamaan semula Malakoff merangkumi identiti visual segar dan matlamat perniagaan yang diperbaharui, membina transformasi strategik syarikat berterusan untuk membentuk masa depan yang lebih mesra alam.

Menurut beliau, hala tuju baharu Malakoff itu turut mempelbagaikan portfolio perniagaannya dengan memberi tumpuan pada sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan penyelesaian alam sekitar yang komprehensif dengan mewujudkan tiga entiti baharu.

Katanya, berpandukan kepada Matlamat Pembangunan Lestari oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Malakoff telah menetapkan sasaran dalaman yang tinggi untuk menunjukkan komitmennya terhadap kelestarian alam.

“Ini termasuk usaha penyahkarbonan yang bertujuan mengurangkan keamatan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 30 peratus menjelang 2031; meningkatkan hasil keuntungan daripada sumber tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian alam sekitar sebanyak 50 peratus dalam dekad akan datang.

“Perubahan besar dalam hala tuju perniagaan ke arah kelestarian alam dan ekonomi kitaran dimuatkan dalam identiti korporat baharu Malakoff oleh tiga teras utama yang melambangkan fokusnya terhadap manusia, planet dan kemakmuran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN