Jangan jadikan isu triti persempadanan laut Malaysia-Indonesia raih modal politik

Jangan jadikan isu triti persempadanan laut Malaysia-Indonesia raih modal politik

ZAMBRY Abdul Kadir menunjukkan kawasan umum di laut Sulawesi ketika sidang akhbar di Wisma Putra, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Proses rundingan Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi antara Malaysia- Indonesia berkaitan Persempadanan Laut Wiayah bagi kedua-dua negara dilaksanakan sejak 2005.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, malah ia dirunding bersama ketika pentadbiran kerajaan terdahulu dan sudah dimuktamadkan pada 2018 sekali gus ia bukan lah satu proses perbincangan yang baru bermula semasa kerajaan hari ini.

Menurut beliau, tuduhan yang menyatakan persetujuan persempadanan itu melibatkan kawasan di Laut Sulawesi yang dirujuk sebagai Ambalat oleh Indonesia juga tidak benar.

Jelasnya, persetujuan yang dicapai hanya melibatkan persempadan zon laut wilayah dari garis pangkal hingga sejauh 12 batu nautika dan tidak meliputi Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) sebagaimana turut dijelaskan oleh Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia, Sr Mohammad Zaki Mohd. Ghazali.

Persetujuan kedua-dua triti ini hanya merangkumi anggaran enam peratus daripada keseluruhan 350 kilometer lebar Laut Sulawesi.

“Adalah sangat dukacita dan malang apabila isu berkaitan kedaulatan negara dimanipulasi sedemikian rupa bagi menagih dokongan politik.

“Semua sedia maklum ia mungkin digunakan menjelang pilihan raya negeri (PRN) dan sewajarnya tidak cuba menimbulkan keraguan,” katanya dalam sesi libat urus bersama media berhubung Triti Persempadanan Laut Wilayah Di Kawasan Paling Selatan Selat Melaka dan Triti Persempadanan Laut Wilayah (Separa) di Laut Sulawesi Antara Malaysia dan Indonesia, di sini hari ini.

Zambry berkata, proses rundingan ini sudah mengambil kira pandangan dan nasihat pakar maritim negara iaitu Pasukan Rundingan Pembatasan Sempadan Maritim
Malaysia.

Pasukan ini diterajui Kementerian Luar Negeri dan dianggotai agensi-agensi teras iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Pusat Hidrografi Nasional (PHN).

Pasukan Rundingan Pembatasan Sempadan Maritim Malaysia turut melibatkan agensi-agensi lain serta pihak-pihak yang berkaitan, termasuk kerajaan negeri dalam merangka strategi dan pendekatan semasa proses rundingan.

“Perdana Menteri sudah menjawab di Parlimen dengan memberi fakta berasaskan apa yang diingini, namun ia tetap dijadikan sebagai bahan dan ceramah politik dengan memberi gambaran buruk kerajaan hari ini seolah-olah menggadaikan kedaulatan negara.

“Perbincangan berasaskan undang-undang antarabangsa dan berdasarkan terma dipersetujui bersama. Ia bukan proses biasa-biasa tetapi memerlukan kepakaran tinggi dan diadakan mesyuarat berterusan iaitu bukan ketika Anwar menjadi Perdana Menteri, lalu rundingan terus siap,” katanya.

Apatah lagi, katanya, tuduhan pihak pembangkang bahawa kerajaan cuba menyembunyikan fakta adalah sangat keterlaluan sedangkan hal berkaitan negara seharusnya tidak dipolitikkan.

“Triti ini penting bagi memastikan kita tahu tentang kedudukan dan kedaulatan serta bidang kuasa bagi membolehkan kedua-dua negara menjalankan aktiviti mereka antaranya penguatkuasaan undang-undang di kawasan maritim masing-masing.

“Jadi selepas ini tiada istilah mana-mana pihak menceroboh kawasan. Dengan ada triti yang ditandatangani dua negara kita tahu kawasan masing-masing termasuk aktiviti pencegahan jenayah rentas sempadan, penyeludupan dan pemerdagangan manusia, ” katanya.

Sementara itu, seperti di dalam Kenyataan Bersama antara Malaysia dan Indonesia bahawa kedua-dua negara bersetuju dengan isu garisan sempadan Triti Laut Sulawesi dari timur pesisir pantai Pulau Sebatik dapat dimuktamadkan Jun 2024.

“Ada perkara yang sedang dirundingkan yang tidak boleh didedahkan. Di kawasan Pulau Sebatik ada kawasan yang belum kita persetujui, berjarak kira-kira 1.8 kilometer (km), ia belum dipersetujui secara bersama.

“Jika pertikaian berkenaan kawasan berjarak kira-kira 1.8 km itu tidak dapat disepakati menjelang Jun depan, kita akan teruskan rundingan itu dan proses perundingan perlu berasaskan undang-undang antarabangsa yang ada,” kata Menteri Luar Negeri.

Sementara itu, Zambry berkata, Wisma Putra sudah membuat laporan polis minggu lepas berhubung penularan Nota Memorandum Daripada Menteri Luar Negeri Penyelesaian Isu Sempadan Maritim Malaysia-Republik Indonesia.

“Kita memandang serius kerana ada perkara yang disampaikan dalam kertas tu tidak benar, malah penggunaan peta yang sepatutnya dirahsiakan, diambil dengan penceritaan yang tidak benar, naratif yang diberikan seolah-olah ia adalah nasihat atau pandangan pakar sebenarnya adalah palsu.

“Kerajaaan memandang serius hal ini kerana ia berkaitan kerahsiaan bahan-bahan maklumat yang tidak boleh didedahkan dan termasuk juga penularan maklumat palsu yang didakwa sebagai nasihat pakar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya