Pindaan AUKU: Retorik atau aspirasi pemerkasaan mahasiswa

Pindaan AUKU: Retorik atau aspirasi pemerkasaan mahasiswa

Golongan belia perlu dilibatkan dalam memerangi rasuah di negara ini. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tanggal 18 Mac 2024 merupakan satu lagi detik bersejarah dalam konteks kemahasiswaan di mana Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir telah membentangkan pindaan terbaharu pada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan diluluskan oleh Dewan Rakyat melalui undian suara.

Persoalan yang pastinya bermain di benak fikiran kemahasiswaan adalah adakah pindaan AUKU ini ‘relevan’ atau hanya sekadar ‘retorik’? Ataupun masih ada kepimpinan mahasiswa yang membawa slogan lama iaitu ‘Mansuh AUKU’.

Zambry Abdul Kadir

Persoalan pertama yang menarik untuk dikupas adalah kenapa AUKU tidak dimansuh tetapi telah dipinda?
Naratif ‘Mansuh’ AUKU seringkali dijadikan ‘modal’ oleh segelintir kepimpinan pelajar dalam memberi justifikasi mereka tidak bebas dalam melaksanakan aktiviti atau berpolitik mahupun dari sudut pengurusan kewangan.

Ia juga akan lebih kuat didendangkan apabila berdepan dengan ‘Pengundian/Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)’ atau jika ada isu relevan yang berkait dengan situasi politik tanah air. Laungan ini lazimnya berkisar naratif ‘kebebasan berpolitik’ yang diikat oleh AUKU.

Hakikatnya, kewujudan AUKU itu lebih meluas dan sebahagiannya berada di bawah kuasa perundangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mengandungi peruntukan bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti dan kolej universiti awam. Namun begitu, hanya terdapat dua seksyen yang secara khusus membabitkan aspek mahasiswa dan MPP iaitu Seksyen 15 dan 16 termasuk Perkara 48 Jadual Pertama AUKU.

Logiknya, dalam konteks kepimpinan mahasiswa, jenama ‘MANSUH AUKU’ adalah suatu yang melencong daripada realiti tetapi sekumpulan pelajar ini sepatutnya berjuang dalam jenama ‘PINDAAN AUKU’ yang lebih realistik dan praktikal bagi asas perjuangan mahasiswa.

Persoalan kedua, bukankah AUKU pernah dipinda sebelum ini? Adakah ia menyelesaikan isu kemahasiswaan?
Menariknya, sejajar dengan ‘suara mahasiswa’ dan perubahan idea dan perjuangan politik progresif negara yang sentiasa berkembang, ‘PINDAAN AUKU’ melibatkan mahasiswa telah berlaku pada 2012 dan 2019. Pindaan pada 2012 membenarkan mahasiswa terlibat dalam apa juga persatuan, badan atau kumpulan termasuk parti politik ketika di luar kampus manakala kebebasan berpolitik di dalam kampus pula kemudiannya dibenarkan membabitkan Pindaan pemansuhan Seksyen 15(2)(c) AUKU. Turut dibuat pindaan terhadap Seksyen 47(2)(C) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 [Akta 555] dan Seksyen 10 (2)(C) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 [Akta 174] yang terpakai kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Perguruan.

Secara amnya, kerajaan pada waktu itu telah membuka ruang kepada mahasiswa khususnya untuk terlibat secara lansung dan tidak langsung dalam kebebasan berorganisasi atau berpolitik di dalam dan di luar kampus.

Walaupun pindaan ini menyelesaikan perkara utama yang berkait dengan kebebasan berpolitik pelajar, dalam konteks pengoperasian dan organisasi kepimpinan mahasiswa atau MPP, berdasarkan kepada ‘suara mahasiswa’, masih ada perkara yang perlu diberi perhatian khususnya berkait dengan AUKU.

Persoalan seterusnya, jika pindaan AUKU boleh memberikan autonomi atau memperkasa mahasiswa, apa yang hendak atau perlu dipinda?
Melompat ke masa kini, KPT yang ditunjangi oleh Zambry dan pastinya kepimpinan mahasiswa menantikan arah baharu KPT di bawah nakhoda kepimpinan beliau. Berdasarkan pemerhatian, setelah proses libat urus dilakukan pada setiap tingkat kepimpinan mahasiswa dan pentadbiran Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), KPT kini mengambil langkah yang sangat berbeza.

Bagi memastikan ‘Suara mahasiswa’ diangkat, KPT kali ini dilihat bersedia melakukan perubahan agresif dan praktikal. Dua tindakan telah dibuat, pertamanya perubahan atau pindaan terhadap dasar, peraturan atau garis panduan IPT tanpa perlu terhadap perubahan AUKU (fasa 1) dan keduanya perubahan dasar yang memerlukan terhadap pindaan AUKU (fasa 2) khususnya yang berkait dengan mahasiswa.

Berdasarkan libaturus, sekumpulan mahasiswa membangkitkan berkenaan kekangan melaksanakan program, dana terhad dan urusan kewangan yang kompleks, campurtangan dalam pemilihan MPP serta tiadanya garis panduan yang jelas untuk pelajar terlibat dalam berpolitik di dalam dan luar kampus.

Melalui naratif ‘PEMERKASAAN MAHASISWA’, fasa pertama perubahan ‘pengoperasian’ ini tidak memerlukan kepada pindaan AUKU. Persepsi atau salah faham yang mungkin dulu kedengaran kini dapat disangkal dengan perubahan pengoperasian melibatkan pengenalan terhadap autonomi pengurusan aktiviti pelajar, autonomi pengurusan kewangan pelajar, panduan pelajar berpolitik di dalam dan luar kampus serta pengurusan pemilihan MPP Universiti Awam (UA) yang dilaksanakan sepenuhnya oleh pelajar melalui Campus Election Committee (CEC). Fasa 1 ini telah selesai pelaksanaannya dan ini menunjukkan kesungguhan pihak KPT yang dilihat ‘walk the talk’.

Libaturus bersama kepimpinan mahasiswa juga membangkitkan berkenaan perkara berikut yang hanya boleh dilaksanakan melalui pindaan AUKU untuk Fasa 2 agenda ‘Pemerkasaan Mahasiswa’. ia melibatkan kebenaran memungut wang, menerima sumbangan dan menyelenggara kumpulan wang kepada MPP atau Badan Pelajar; penyelarasan tempoh pemilihan MPP berdasarkan kalendar akademik (AUKU kini rigid menetapkan tempoh MPP adalah setahun); serta pemantapan amalan tadbir urus tatatertib mahasiswa. Akhirnya, RUU AUKU 2023 telah dibentangkan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Kenapa perubahan ini perlu dibuat secara berfasa dan kenapa tidak dibuat serentak?
Untuk KPT melaksanakan fasa 2, ia memerlukan pindaan terhadap AUKU. Disebabkan itu perkara ini ditangguhkan pelaksanaannya dalam Fasa ke-2 agenda Pemerkasaan Mahasiswa.

KPT sangat serius dalam mendengar dan berbincang bersama kepimpinan mahasiswa. Ada juga yang sinis menyatakan KPT ‘tunduk’ dengan permintaan mahasiswa tetapi ada juga merasakan sebaliknya. KPT dilihat sangat proaktif, terbuka dan berani dalam membuat perubahan yang dirasakan sesuai melalui pelbagai libat urus yang dibuat di semua peringkat.

Persoalan terakhir, adakah pindaan AUKU ini menyelesaikan semua hal berkait kemahasiswaan?
Adakah ini sahaja tuntutan mahasiswa, pastinya tidak? Apakah ini sahaja perubahan yang hendak dibawa KPT, juga pastinya tidak. Yang pasti, kepimpinan mahasiswa perlu terus kekal dalam membawa ‘suara tuntutan’ melalui perbincangan ‘meja bulat’ bersama KPT. Sejarah lepas kita buatkan sebagai teladan, jangan menjadi ‘seperti anjing menyalak bukit yang bukitnya tak runtuh’, duduklah bersama untuk capai kata sepakat, ‘yang buruk dibuang dengan rundingan, dan yang baik ditarik dengan muafakat’.

Pastinya pada masa mendatang, pelbagai lagi permintaan dan ragam daripada setiap kepimpinan pelajar akan diperoleh. Namun berdasarkan penelitian, kajian impak dan ruang lingkup peraturan, KPT akan terus melaksanakan perubahan ini secara berfasa melalui gerak kerja ‘Pemerkasaan Mahasiswa’.

Sekretariat HEPA IPT pastinya juga akan bersama KPT dalam memastikan pelaksanaan agenda ‘pemerkasaan mahasiswa’ dapat dilaksanakan dengan baik sebagai platform pengurusan kematangan dan pendewasaan mahasiswa. Proses menghakupayakan mahasiswa adalah proses yang sentiasa perlu diperkasa bagi memastikan mahasiswa yang lebih dinamik dan progresif dapat dilahirkan, menyuburkan lagi aktiviti berpersatuan serta melahirkan mahasiswa berkualiti tinggi.

Penulis ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×