Ibu tidak bayar hutang punca kereta anak dilarikan - Utusan Malaysia

Ibu tidak bayar hutang punca kereta anak dilarikan

TANGKAP layar kejadian seorang lelaki ditarik keluar dan keretanya dilarikan dua lelaki dalam kejadian di lampu isyarat Jalan Bagan Lalang, Butterworth, Pulau Pinang pagi kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Gara-gara ibu gagal melunaskan wang pinjaman, kereta milik anak lelakinya dirampas tiga lelaki dalam kejadian di lampu isyarat Jalan Bagan Lalang, di sini pagi kelmarin.

Video kejadian kereta itu dirampas berdurasi satu minit dua saat yang memaparkan seorang pemandu Perodua Axia ditarik keluar dua lelaki sebelum kenderaannya dilarikan di persimpangan lampu isyarat terbabit yang berlaku kira-kira pukul 7.45 pagi turut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, susulan kejadian itu, pihaknya berjaya menahan ketiga-tiga lelaki tempatan yang berusia lingkungan 27 sehingga 49 tahun semalam.

Katanya, suspek ditahan di tiga lokasi berbeza iaitu di Kuala Kangsar, Perak dan Seberang Jaya serta dekat sini.

“Hasil siasatan awal mendapati ibu mangsa yang berusia 57 tahun telah membuat pinjaman wang berjumlah RM100,000 daripada seorang lelaki pada tahun 2020.

“Melalui perjanjian bertulis, ibu mangsa bersetuju untuk menyerahkan kereta berkenaan sekiranya gagal membayar pinjaman terbabit.

“Memandangkan ibu mangsa gagal membayar pinjaman itu, lelaki (pemiutang) terbabit mengupah tiga lelaki untuk merampas kereta mangsa,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Jelasnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan tanpa senjata yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan sekiranya sabit kesalahan.

“Kita juga masih dalam usaha mengesan suspek yang masih bebas dalam kes ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak terus menularkan video kejadian berkenaan dan orang awam juga boleh merujuk kepada pihak yang berkenaan untuk pengesahan maklumat supaya maklumat yang betul boleh diperolehi.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pihak polis dengan menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD SPU ditalian 04-5759122,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya