Hanya 3,000 wanita carum SKSSR di Selangor - Utusan Malaysia

Hanya 3,000 wanita carum SKSSR di Selangor

SKSSR
ISMAIL Abi Hashim (kanan) menyerahkan bayaran faedah itu kepada waris Muhamad Daniel dengan disaksikan Dzulkefly (kiri) dekat Kampung Parit Mahang, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini.- UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Hanya 3,000 wanita berusia bawah 55 tahun di Selangor mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat ini.

Statistik itu menunjukkan bahawa tahap kesedaran golongan berkenaan masih rendah sejak ia mula dilaksanakan hujung tahun lalu.

Pengarah Perkeso Selangor, Ismail Abi Hashim berkata, pihaknya menyasarkan seramai 80,000 wanita mencarum pada tahun ini namun angka tersebut masih jauh kerana jumlah pencarum amat kurang di negeri ini.

“Keadaan itu mungkin berpunca faktor kesedaran dan pengetahuan yang rendah mengenai faedah caruman SKSSR yang mahu baharu tersebut.

“Kadar caruman berjumlah hanya RM120 setahun itu terbuka kepada semua wanita termasuk suri rumah dengan pelbagai faedah perubatan, tanggungan dan khairat kematian,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan bayaran faedah Perkeso kepada seorang mangsa kemalangan di Kampung Parit Mahang, hari ini.

Bayaran Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUP) dan Elaun Layan Sentiasa (ELS) itu diserahkan kepada Muhamad Daniel Musa, 22, yang lumpuh akibat kemalangan jalan raya pada Mei 2021 dengan disaksikan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

SKSSR yang dilaksanakan sejak 1 Disember tahun lalu memberi perlindungan menerusi faedah FHUP, perubatan dan pemulihan, elaun keuzuran, bantuan dialisis, pencen penakat dan pengurusan mayat.

Semua wanita berusia bawah 55 tahun dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, berkahwin atau bujang layak menyertai skim berkenaan.

Tambah Ismail Abi, tiga pencarum yang melibatkan kematian sudah menerima faedah menerusi caruman itu tahun ini.

“Justeru, kita akan mempergiatkan lagi usaha dengan pelbagai kempen bagi menambah jumlah pencarum wanita itu. Golongan wanita termasuk suri rumah digalakkan menyertai caruman itu demi kebajikan dan masa depan mereka jika ditimpa musibah kelak,” ujarnya.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, beliau berharap Perkeso dapat membantu menyediakan peluang pekerjaan dalam sektor tertentu kepada Muhamad Daniel yang lumpuh di bawah dada dan kaki atau Paraplegia berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya