SHAH ALAM: Isteri kepada pelakon, Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri hairan dengan sikap suaminya yang memuat naik video dan gambar pertemuan bersama anak-anak di Perlis, sehari sebelum prosiding sulh mengenai hadanah berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.
Nurul Shuhada mendedahkan pertemuan tersebut sebenarnya sudah berlangsung tiga minggu lalu, sehingga menyebabkan ramai percaya kononnya Hafidz berjumpa anak-anak, kelmarin.
“Kenapa dia baru berkongsi video dan gambar bersama anak-anak semalam (kelmarin) sedangkan perjumpaan itu adalah tiga minggu lalu?
“Adakah sebab ada kes hadanah hari ini (semalam)?” soalnya.
Menerusi hantaran dalam media sosial, Hafidz turut mengumumkan sudah mencipta akaun baharu anak-anaknya iaitu @humairahnumar.muhammad.hafidz, selain meluahkan perasaan rindu terhadap mereka.
Bagaimanapun, Nurul Shuhada berkata, tindakan itu mencetuskan persoalan kerana suaminya tidak pernah mengambil tahu urusan anak-anak selama ini.
“Sebelum ini, tak pernah pula hendak buat akaun Instagram anak. Selama anak-anak hidup pun dia tak pernah ambil tahu hal mereka.
“Untuk apa tindakan ini dibuat secara tiba-tiba?” soalnya lagi.
Semalam, pasangan itu gagal mencapai kata sepakat selepas Hafidz berubah fikiran di saat-saat akhir berhubung tuntutan hadanah (hak penjagaan) dua anak mereka.
Disebabkan itu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan 12 September depan sebagai tarikh sebutan semula prosiding tersebut.
Pada 16 Mei lalu, Hafidz memfailkan dua hadanah (hak penjagaan) iaitu penuh dan interim (sementara) terhadap dua anaknya Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun di mahkamah sama.
Tuntutan hadanah penuh difailkan Hafidz selaku plaintif pada 18 April lalu dengan menamakan isterinya sebagai defendan.
Bagi hadanah interim pula, tuntutan itu difailkan pada 12 Mei lalu, yang bertujuan supaya Hafidz diberi hak lawatan yang tetap memandangkan setakat ini berlaku kesulitan untuk Hafidz berjumpa atau berkomunikasi dengan anak-anak.