Garis panduan e-invois LHDN dikeluarkan Julai depan - Utusan Malaysia

Garis panduan e-invois LHDN dikeluarkan Julai depan

MOHD. NIZOM Sairi ketika sesi libat urus berkenaan pelaksanaan e-invois Zon Utara, di Batu Ferringhi, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mengeluarkan garis panduan kepada syarikat yang mempunyai kadar pusing ganti tahunan melebihi RM100 juta berhubung pelaksanaan sistem e-invois, Julai depan

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohd. Nizom Sairi berkata, garis panduan itu bagi membolehkan kira-kira 4,000 syarikat yang mempunyai kadar pusing ganti tahunan melebihi RM100 juta memahami inisiatif baharu tersebut.

”Garis panduan ini untuk pihak industri melihat apakah yang perlu mereka lakukan (berhubung pelaksanaan sistem e-invois).

”Jika mereka (pihak industri) ada keperluan tambahan, mereka boleh memberi maklum balas kepada pihak kami, jadi ini adalah proses libat urus yang berterusan sehingga sistem ini dilancarkan nanti,” katanya selepas sesi libat urus berkenaan pelaksanaan e-invois Zon Utara, di sini hari ini.

SEBAHAGIAN peserta yang terlibat dalam sesi libat urus berkenaan pelaksanaan e-invois Zon Utara, di Batu Ferringhi, Pulau Pinang hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, LHDN bercadang memperkenalkan inisiatif baharu dikenali e-invois bagi memudahkan pembayar cukai menyimpan dan mengawasi rekod kewangan masing-masing.

Penggunaan e-invois yang bermula Jun 2024 akan mempersiapkan negara terhadap sistem percukaian baharu dan pelaksanaannya itu akan memperkemas dan mengukuhkan sistem cukai negara serta penilaian risiko pematuhan yang lebih tepat.

Menurut Mohd. Nizom, pada masa ini LHDN sedang melaksanakan sesi libat urus bersama pihak industri di seluruh negara bagi memastikan apa yang dibangunkan bersesuaian dengan keperluan daripada pihak industri.

”Kita laksanakan banyak libat urus untuk mendapatkan maklumat supaya tidak menjadi sesuatu yang terlalu mahal untuk pihak industri berada dalam sistem ini,” katanya.

Tambah beliau, sistem e-invois itu apabila dilaksanakan kelak dapat membantu menjimatkan kos syarikat dari segi penyimpanan rekod dan pelaksanaan perniagaan.

Dalam pada itu, katanya, LHDN yakin sistem e-invois tersebut dapat dilaksanakan seperti yang dirancang walaupun masih banyak persoalan daripada pihak industri mengenai sistem tersebut.

”Sistem e-invois ini sangat positif terutama bagi syarikat-syarikat besar kerana ia juga telah dilaksanakan di banyak negara lain yang mempunyai sistem invois,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya