Gangguan bekalan air di Brinchang, pengusaha hotel alami kerugian - Utusan Malaysia

Gangguan bekalan air di Brinchang, pengusaha hotel alami kerugian

KAWASAN hotel bajet di Brinchang yang mengalami masalah bekalan air sejak Khamis lalu namun pulih sepenuhnya semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Pengusaha hotel bajet di Brinchang khususnya di Jalan Angkasa di sini kesal kerana berlaku masalah ketiadaan bekalan air di hotel mereka selama dua hari baru-baru ini.

Ia berlaku ketika kawasan tanah tinggi itu dikunjungi pelancong yang ramai untuk bercuti pada hujung minggu dan cuti umum Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Pengusaha hotel yang terlibat berkata, ketiadaan air dialami sejak Khamis sehingga Sabtu lalu melibatkan kira-kira 15 buah hotel bajet di kawasan Jalan Angkasa dan bekalan air hanya pulih sepenuhnya petang semalam.

Pengusaha Hotel Citra di Brinchang, K. Kathiravan berkata, kerana tiada air, dia terpak­sa membatalkan tempahan pe­lang­gan dan memulangkan semula wang tempahan itu.

Katanya, tempahan secara dalam talian juga dibatalkan.

“Bagi pelanggan yang sudah membuat tempahan dan da­tang ke sini, mereka sudah tentu kecewa kerana tidak dapat bermalam di hotel disebabkan tiada bekalan air.

“Pelanggan yang sudah membuat tempahan hotel sudah tentu marah kerana tak ada tempat hendak tidur, ini menyebabkan ada yang tidur di dalam kereta kerana mereka sudah sampai di sini dan mahu melawat Came­ron Highlands.

“Saya kasihan melihat mereka yang datang ke sini untuk merasai cuaca sejuk kerana di tempat lain cuaca panas, tetapi apabila sampai di sini air tiada. Akibat masalah ini, kira-kira 300 bilik tidak dapat digunakan, bermakna lebih 300 pelanggan yang terjejas.

“Sebelum ini memang ada berlaku gangguan bekalan air tetapi tidak sampai dua hari, akibat masalah air, saya kerugian kira-kira RM6,000 hingga RM7,000 sehari,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Kathiravan yang mempunyai sebuah lagi hotel di Tanah Rata iaitu Hotel Highlanders memberitahu, selepas bekalan air pulih di Brinchang, masalah sama berlaku di Tanah Rata pula yang turut dialami di hotelnya dan penduduk di kawasan perumahan di situ.

Katanya, premis perniagaannya di Tanah Rata juga me­ngalami gangguan bekanan air berikutan tekanan air rendah.

Menurutnya, ini kali pertama berlaku masalah tiada bekalan air di hotelnya dan percaya ia disebabkan kapasiti bekalan air tidak mampu menampung penggunaan yang banyak kerana jumlah pelancong yang tinggi di hotel-hotel di sini ketika ini.

Katanya, masalah itu juga disebabkan pembangunan pesat di sini terutama pembinaan hotel dan kawasan perumahan yang turut melibatkan penggunaan air. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya