Empat remaja lelaki mengaku tidak bersalah pukul gelandangan - Utusan Malaysia

Empat remaja lelaki mengaku tidak bersalah pukul gelandangan

Pukul gelandangan
EMPAT remaja lelaki itu dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Empat remaja lelaki termasuk tiga pelajar sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan mencederakan seorang gelandangan di sekitar daerah ini, bulan lalu.

Tertuduh, Chan Jia Jing, 19, dan tiga remaja berusia 16 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret P. Sarulatha.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang lelaki berusia 67 tahun dekat kaki lima sebuah pasar raya di Jalan Lebuh Berangan, Pelabuhan Klang, kira-kira pukul 3.30 pagi, 8 Mei lalu.

Pendakwaan kes dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Jannah Aimi kemudian menawarkan kos ikat jamin berjumlah RM4,000 dan syarat tambahan memohon tertuduh tidak menganggu mangsa.

Bagaimanapun, peguam Tham Weng Kin yang mewakili tertuduh memohon pengurangan kerana semua anak guamnya itu masih dalam tanggungan keluarga.

Justeru, Sarulatha membenarkan kos ikat jamin berjumlah RM2,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes pada 28 Julai depan.

Dalam pada itu, keempat-empat tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang remaja lelaki 17 tahun di sekitar Pandamaran di sini, kira-kira pukul 1.10 petang, hari sama.

Pendakwaan kes di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan empat remaja lelaki diberkas bagi membantu siasatan kes tular memukul gelandangan.

Kesemua suspek dicekup di sekitar daerah ini dan Shah Alam antara pukul 3 pagi Isnin lalu hingga 9.50 malam kelmarin.

Insiden pukul itu tular menerusi beberapa video yang dimuat naik dalam media sosial memaparkan empat lelaki disyaki warga tempatan menaiki sebuah kereta dan mangsa dipukul dengan besi pemukul besbol. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.