Ella terima pengiktirafan Malaysia Book of Records

Ella terima pengiktirafan Malaysia Book of Records

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ratu Rock negara, Ella, 56, mencipta sejarah apabila konsertnya, Jilid Akhir Ella Puteri Kota 2.0 diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai konsert penyanyi tempatan pertama yang tiketnya habis terjual dalam tempoh 24 jam.

Pengiktirafan itu diberikan kepada Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin selepas 10, 000 tiket untuk konsert tersebut, yang berlangsung semalam dan malam ini ‘licin’ dalam tempoh berkenaan.

Penyanyi lagu Pengemis Cinta itu, ketika ditemui pemberita meluahkan rasa bangga dengan pengiktirafan tersebut. 

“Saya menghargai dan berbangga atas penghormatan serta sokongan daripada peminat, terima kasih,” ujarnya.

Penyanyi berasal dari Pulau Pinang itu sebelum ini juga pernah diiktiraf Malaysia Book of Records selepas membuat persembahan diiringi 200 orang pemuzik pada 2019. Ella ketika itu meleburkan rekod dipegangnya sendiri yang dicipta pada tahun 2016.

Semalam, Ella, pada usia lebih lima dekad memukau peminat pelbagai lapisan umur dan latar belakang menerusi persembahan bertenaga selama lebih dua jam di pentas Axiata Arena, Bukit Jalil. 

Penyanyi kesayangan ramai itu menghadiahkan persembahan istimewa 36 buah lagu termasuk Sepi Sekuntum Mawar Merah, Gemilang, Layar Impian, Nuri, Permata Biru, Sembilu dan banyak lagi.

Konsert Jilid Akhir Ella Puteri Kota 2.0 turut digegarkan dengan penampilan istimewa penyanyi rock bertaraf legenda, Datuk Amy Search yang menyampaikan dua buah lagu, Dua Insan Bercinta (duet bersama Ella) dan Kerja Gila.

Turut hadir memberi sokongan merupakan barisan rakan artis termasuk Datuk Sheila Majid, Datuk Hans Isaac, Ziana Zain, Noryn Aziz, Nourul Wahab, Misha Omar, Rozita Che Wan dan ramai lagi.

Dalam pada itu, Ella turut memaklumkan akan mengadakan konsert yang sama di Singapura sekitar Ogos depan.

“Jumpa anda di Singapura, Insya-Allah. 18 Ogos depan saya akan berada di sana, saya jemput anda hadir,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya