El Nino dijangka hujung Julai, ambil langkah waspada

El Nino dijangka hujung Julai, ambil langkah waspada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Fenomena El Nino dijangka berlaku pada hujung Julai dengan Malaysia mula memasuki fasa panas dan kering bermula hujung bulan depan sehingga September ini.

Organisasi Meteorologi Dunia (WMO) menjangkakan kemungkinan El Nino bakal melanda Malaysia 60 peratus dan pada masa sama, fenomena itu diramal berakhir pada hujung September dengan kebarangkalian sebanyak 80 peratus.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar bidang Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Juliana Jalaludin berkata, di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia, El Nino lazimnya lebih ketara semasa musim monsun barat daya yang kering berpanjangan dan ketika itu suhu harian boleh melebihi 35 darjah celcius.

“Semasa fenomena ini berlaku, ketiadaan hujan atau taburan hujan yang rendah dalam jangka masa lama mendorong keadaan cuaca panas dan ini boleh menyebabkan kerap berpeluh.

“Kesannya, cecair dalam badan berkurangan seterusnya menyebabkan seseorang itu mudah berasa letih dan kurang bertenaga serta lebih berisiko mengalami dehidrasi dan strok haba.

“Minum minuman isotonik kerana ia boleh menggantikan garam dan mineral yang hilang semasa berpeluh serta kurangkan minuman berkafein, mengandungi alkohol atau bergula.

“Usahakan untuk berada di tempat redup dan mengelak pancaran matahari terlalu kuat. Jika berada dalam bangunan atau rumah pula, pastikan mempunyai pengudaraan yang baik dengan kipas atau kelengkapan pendingin hawa,” katanya.

Terdahulu, mengikut rekod, sehingga tahun 2015, El Nino pernah melanda Malaysia sebanyak 12 kali iaitu sejak tahun 1951 hingga 1952 dan kejadian kes yang paling teruk adalah pada tahun 1997 hingga 1998 apabila catatan suhu terlalu tinggi dengan suhu tertinggi 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998.

Juliana berkata, ada ketikanya individu boleh mengalami mual atau muntah dan jika dehidrasi terlalu teruk, ia boleh menyebabkan seseorang itu mengalami kekeliruan dan tidak sedarkan diri.

“Pada masa yang sama, cuaca panas boleh mengakibatkan kebakaran berlaku dengan cepat. Amalan pembakaran terbuka harus diberhentikan termasuk di kawasan pertanian, pembinaan dan perumahan kerana ini memburukkan lagi keadaan kualiti udara yang boleh menjejaskan kesihatan awam.

“Perokok, pengguna rokok elektronik dan penghisap vape dinasihatkan supaya berhenti merokok dan vape di tempat awam kerana ia bukan hanya membahayakan diri sendiri tetapi mendedahkan masyarakat awam kepada risiko pelbagai penyakit.

“Masyarakat perlu prihatin agar dapat membantu mengurangkan simpanan air yang terdedah dan pantau serta bersihkan bekas simpanan air sekerap mungkin dari berlakunya tempat pembiakan nyamuk.

“Udara lembap dan hangat menjadi habitat yang paling digemari nyamuk terutama nyamuk jenis anopheles dan aedes aegypti.

“Jika dulu nyamuk ini kerap muncul ketika musim hujan dan kemarau tetapi kini serangannya boleh dikatakan berlaku hampir di semua musim sepanjang tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×