PETALING JAYA: Polis menahan dua individu yang dipercayai mengakibatkan seorang lelaki cedera dipukul di sebuah kedai serbaneka di Semenyih dekat sini.
Penahanan kedua-dua suspek merupakan lelaki warga tempatan dilakukan semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kedua-dua suspek berusia 31 dan 32 tahun itu diberkas sepasukan anggota polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di Seremban, Negeri Sembilan dan Sepang, Selangor.
“Dalam operasi yang dijalankan kira-kira pukul 11.30 pagi dan 12.30 tengah hari itu, kita turut merampas dua buah telefon bimbit bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod melibatkan kes jenayah dan dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu, seorang pekerja sebuah kedai serbaneka di Semenyih cedera dipukul dalam kejadian Selasa lalu.
Mangsa dipukul kerana mendakwa suspek bertindak mengambil tiga batang payung dan keluar dari premis tanpa mahu membuat sebarang bayaran.
Mangsa yang mengalami kecederaan di muka mendapatkan rawatan di hospital sebelum tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN