Dua beradik jual 250 bungkus nasi lemak RM1 sehari - Utusan Malaysia

Dua beradik jual 250 bungkus nasi lemak RM1 sehari

MUHAMMAD Lukman Hakim (kiri) melayan pelanggan yang singgah ke gerainya untuk membeli nasi lemak di Pasir Pekan Tumpat, Kelantan. - UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Dua beradik masih mampu menjual nasi lemak pada harga RM1 meskipun berdepan peningkatan mendadak harga bahan mentah ketika ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Lukman Hakim Sheh Ahmad, 27, berkata, setiap hari dia dan abangnya, Muhammad Hilmi, 32, yang lumpuh separuh badan mampu menjual sehingga 250 bungkus nasi sehari.

Jelasnya, idea menjual nasi lemak RM1 dilontarkan abang kedua yang turut menjalankan perniagaan tersebut selepas berhenti kerja.

“Walaupun dijual pada harga murah, alhamdu­lillah saya masih peroleh untung. Nasi lemak yang saya jual ini berlauk sambal ikan bilis, sepotong telur dan timun.

“Sambil jual murah, kami jadikan jualan ini sebagai bentuk perkongsian rezeki kepada orang ramai,” katanya yang sudah berniaga le­bih dua minggu di depan stesen minyak di Pasir Pekan.

Jelasnya, nasi lemak itu menggunakan resipi milik ibunya, Rahimah Awang, 60.

Katanya, setiap hari ibunya akan bangun seawal pukul 4 pagi untuk memasak nasi lemak sambil dibantu Muhammad Hilmi.

“Saya mula membuka gerai sekitar pukul 8 pagi selepas pulang daripada kerja sebelah malam di sebuah restoran makanan segera,” jelasnya.

Seorang pelanggan, Nawiah Mustaffa, 65, berkata, dia kerap singgah untuk membeli nasi lemak yang dijual dua beradik itu.

“Rasanya sangat sedap dan harganya cukup murah, mudah-mudahan dua beradik ini dimurahkan rezeki,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN