PETALING JAYA: Kumpulan sensasi, Dolla yang dianggotai oleh empat penyanyi wanita iaitu Sabronzo, Tabby, Angel dan Syasya mencuri tumpuan selepas dikategorikan sebagai 10 kumpulan penyanyi wanita antarabangsa yang perlu disenaraikan dalam carta pencinta muzik global.
Carta lagu mesti dengar itu memberi penghormatan kepada Dolla dengan menduduki tempat keenam dalam senarai cadangan tersebut, serta merupakan satu-satunya kumpulan dari Malaysia yang berjaya memasuki carta itu.
Carta itu dimuat naik oleh saluran YouTube terkenal, MsMojo yang turut menyenaraikan kumpulan dari Amerika Syarikat, Amerika Latin, United Kingdom, Jepun, Korea Selatan dan Filipina.
Antara selebriti lain yang turut tersenarai adalah kumpulan dari Jepun, XG dan juga sensasi K-Pop terkini, New jeans.
Saluran itu mengklasifikasikan Dolla sebagai kumpulan penyanyi yang dikenali kerana kelincahan mereka di pentas serta menjadi fenomena selepas tular dalam media sosial termasuk kejayaan lagu Raya Raya Raya yang berjaya mengumpul jutaan peminat seluruh dunia.
Perkembangan itu merupakan kejayaan besar buat Dolla kerana MsMojo merupakan saluran yang sangat popular dalam YouTube dengan mengiktiraf artis-artis berbakat dari seluruh dunia serta berimpak besar dalam dunia seni hiburan.
MsMojo yang mempunyai lima juta pelanggan merupakan saluran YouTube yang lahir dari saluran induk WatchMojo, iaitu sebuah saluran video YouTube yang berpusat di Kanada.
Tahun lalu, Dolla mencipta rekod selepas wajah mereka dipaparkan dalam papan iklan digital di Times Square, New York, Amerika Syarikat.