Didenda sehingga RM4,000 angkara judi belangkas

Didenda sehingga RM4,000 angkara judi belangkas

SEBAHAGIAN daripada 20 individu yang mengaku bersalah atas kesalahan bermain judi belangkas di Mahkamah Majistret, Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 20 individu termasuk warga emas dan suri rumah didenda antara RM1,500 hingga RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, setelah mereka mengaku bersalah bermain judi belangkas di sebuah ladang kelapa sawit, minggu lalu.

Kesemua tertuduh yang berusia antara 18 hingga 78 tahun membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif.

Mereka yang mengaku salah ialah Wone See Muah, 53; Thian Din Chok, 59; Ahmad Zuraidi Mohd. Noor, 47; Bon Rit Bon Nan, 18; Ai Piang Fo Chirat, 42; Hanafi Hamid, 45; Ilyas Ayob, 44; Ishak Md. Daud, 66; Mustafa Kassim, 63 dan Sazali Osman, 66.

Turut mengaku bersalah ialah Isa Ating, 78; Khamron Tong Kiw, 43; Mohd. Nasrol Sulaiman, 50; Hoay Seng Chai, 68; Azlan Aziz, 49; Nang Kan Yap Chuan, 60; Malai Dang, 45; Marjuri Nukian, 38; Chem See Wan, 37 dan Meu Siew, 66.

Majistret turut memerintahkan kesemua mereka yang terdiri daripada 15 lelaki dan lima wanita itu dipenjara antara tiga hingga enam bulan sekiranya gagal melunaskan denda ditetapkan.

Mengikut pertuduhan, mereka didapati bermain judi belangkas di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Titi Akar, Pendang, kira-kira pukul 7.15 petang, 14 Jun lalu.

Rata-rata tertuduh bekerja sebagai penoreh getah, pesara, pekerja bengkel besi, buruh, suri rumah, penganggur serta seorang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. 

Din Chok diwakili peguam bela, Bun Liang sementara baki 19 tertuduh diwakili empat peguam  Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) iaitu Saidina Khatijah Zaharah Khairulnisak Mohd. Noor; Ummi Kalthum Zakaria; Siti Hajar Abdullah dan Zuriyah Mhd. Nordin.

Terdahulu, pihak pembelaan memohon agar kesemua tertuduh dikenakan hukuman denda minimum berdasarkan kepada pelbagai faktor antaranya ekonomi serta kesihatan individu terlibat yang rata-ratanya sudah berusia.

Malah, tertuduh yang beragama Islam juga didakwa sudah bertaubat dan kesemua mereka berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan itu.

Bagaimanapun, Nasruna Anhar memohon hukuman setimpal bersandarkan faktor kepentingan awam selain menurutnya, kerajaan juga sentiasa mengambil serius isu itu sehingga membuat pindaan terhadap akta terlibat bagi memastikan hukuman lebih berat.

Majistret memutuskan See Muah didenda RM4,000 serta dipenjara enam bulan jika gagal melunaskan denda berkenaan memandangkan dia memiliki rekod lampau berkaitan kes di bawah seksyen sama.

Sembilan tertuduh lain yang berusia 60 tahun ke atas serta remaja yang baru berusia 18 tahun dijatuhi hukuman denda RM1,500 serta tiga bulan penjara sekiranya gagal melunaskan denda. Manakala 10 lagi tertuduh didenda RM2,000 dan penjara selama empat bulan jika gagal menyelesaikan bayaran. Kesemua tertuduh difahamkan membayar denda terbabit.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya