MUMBAI: Anak syarikat penerbangan tambang murah Air India, Air India Express membatalkan 74 penerbangan hari ini sehari selepas operasinya terganggu teruk berikutan berpuluh-puluh kru kabin cuti sakit pada saat-saat akhir.
Syarikat penerbangan itu diambil alih oleh konglomerat India Tata Group pada 2022 selepas usaha kerajaan untuk menswastakan syarikat penerbangan yang banyak berhutang itu.
Laporan media mengaitkan cuti sakit beramai-ramai secara tiba-tiba dengan rasa tidak puas hati kakitangan yang memuncak atas dasar baharu mengenai pengambilan dan kenaikan pangkat yang dikenakan oleh pemilik baharunya.
Air India Express berkata dalam satu kenyataan bahawa ia melakukan setiap usaha yang mungkin untuk meminimumkan kesulitan yang ditimbulkan kepada penumpangnya tetapi terpaksa membatalkan 74 penerbangan hari ini
Lebih 90 penerbangan lain terganggu sejak Selasa lalu akibat kekurangan kakitangan, kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan berasingan tanpa menjelaskan sama ada ia ditangguhkan atau dibatalkan.
Ketua eksekutifnya, Aloke Singh berkata bahawa syarikat penerbangan itu terpaksa mengehadkan jadual penerbangannya dalam beberapa hari akan datang.
“Sejak petang tadi, lebih 100 rakan sekerja kru kabin kami melaporkan sakit sebelum bertugas penerbangan mereka pada saat-saat akhir. Ia sangat mengganggu operasi kami.
“Perbuatan ini pastinya tidak mewakili 2,000 rakan sekerja kru kabin dalam syarikat yang terus menyahut panggilan tugas,” katanya.
Laporan media berkata syarikat penerbangan bajet itu memecat sekurang-kurangnya 20 kakitangan berikutan kejadian tersebut.
Jurucakap Air India Express berkata bahawa syarikat penerbangan itu mengambil langkah yang sesuai terhadap individu tertentu, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
“Kami mengambil langkah sewajarnya terhadap individu tertentu kerana tindakan mereka menyebabkan kesulitan besar kepada beribu-ribu tetamu kami,” kata jurucakap itu.
Lapangan terbang New Delhi menyaksikan adegan huru-hara semalam ketika penumpang gelisah menunggu maklumat terkini mengenai penerbangan yang ditangguhkan dan dibatalkan, menurut laporan media India. -AFP










