DAP tidak calonkan Tony Pua dalam PRN  

DAP tidak calonkan Tony Pua dalam PRN  

ANTHONY Loke melancarkan Kad Pelaut Digital sempena Hari Pelaut 2023 Peringkat Kebangsaan, Putrajaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: DAP menegaskan tidak mencalonkan bekas Setiausaha Publisitinya, Tony Pua dalam pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, parti itu tidak berniat untuk mencalonkan Tony Pua pada PRN itu malah beliau  juga tidak berminat untuk bertanding.

“Saya hairan kenapa timbul isu bahawa dia (Tony Pua) akan bertanding. Dia tiada minat pun, kawasan Parlimen pun dia tidak minat bertanding.

“Dia tidak akan bertanding dan tidak akan dicalonkan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Hari Pelaut 2023 Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendesak DAP supaya tidak menyenaraikan Tony Pua sebagai antara calon PRN jika mahu gabungan Kerajaan Perpaduan berkekalan.

Baru-baru ini, Tony Pua sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di pekarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) secara ‘tiba-tiba’ menggelar Barisan Nasional (Bn) BN yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai ‘corrupt coalition’ atau ‘pakatan korup’.

Mengulas mengenai jawatan yang disandang Tony Pua kini sebagai Penasihat Polisi kepada Setiausaha Agung DAP,  beliau berkata, ia bukan jawatan rasmi dalam parti dan tiada dalam perlembagaan parti.

“Jawatan itu sekadar berperanan sebagai penasihat sahaja dan terpulang pada saya mahu dapatkan nasihat dia atau tidak,” katanya.

Beliau juga menjelaskan hubungannya dengan Tony Pua baik cuma kadangkala jika ada keterlanjuran kata oleh mana-mana ahli parti, mereka perlu ditegur.

Ditanya sama ada DAP sudah memuktamadkan nama calon bagi PRN nanti, beliau berkata, ia belum dimuktamadkan malah belum mencapai tahap satu peratus pun.

“Setakat ini, parti belum memuktamadkan calon lagi. Tapi yang muktamad adalah Tony Pua tidak akan jadi calon,” katanya.

Mengulas kenyataan Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang meminta supaya parti diberi lebih kerusi untuk bertanding PRN di enam negeri nanti, beliau berkata, ia akan dibincangkan di peringkat parti dan perkara itu tidak perlu didedahkan secara terbuka.

“Apa sahaja perundingan akan dilakukan secara tertutup dengan rakan-rakan parti gabungan lain,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya