BANGI: Dasar yang menyentuh kepentingan langsung kesejahteraan rakyat akan menjadi keutamaan kerajaan pada tahun ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kerajaan juga akan memastikan ekonomi negara kekal di landasan yang betul agar kos sara hidup rakyat dapat ditangani secara berkesan.
Katanya, antara fokus utama dibincangkan adalah usaha berterusan kerajaan mempermudah urusan perniagaan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi inklusif dan mampan di seluruh negara.
“Kerajaan mengutamakan usaha memudahkan urusan perniagaan serta memperkukuh komunikasi agar hasil kestabilan negara dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.
“Kestabilan sepanjang 38 bulan pentadbiran menyumbang kepada kedudukan ringgit yang kukuh serta peningkatan keyakinan pelabur domestik dan asing.
“Kadar pengangguran kini berada pada paras terendah dalam tempoh 14 tahun, sekali gus membuktikan ekonomi negara berada di landasan betul dan meyakinkan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Permukiman Kerajaan Madani 2026 di Kampus Pembelajaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (ELP) di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta barisan jemaah menteri, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri daripada Kerajaan Perpaduan.
Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengamanahkan hasil perbincangan diterjemahkan kepada siri program pelaksanaan dalam masa terdekat bagi memberi manfaat nyata kepada rakyat di seluruh negara secara berperingkat dan berfokus.
“Beliau berkata tumpuan kerajaan memastikan dividen kestabilan ekonomi diterjemahkan kepada hasil dengan petunjuk positif termasuk pelaburan meningkat, pengangguran rendah dan nilai ringgit mengukuh beransur kukuh,” katanya.
Berkenaan isu tender perolehan Tentera Darat, Fahmi berkata, esok Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menjawab isu tersebut.
“Saya tidak akan mengulas berkenaan perkara tersebut kerana esok Menteri Pertahanan sendiri akan mengulas berkenaan perkara itu,” katanya. – UTUSAN










