KUALA LUMPUR: Lebih 60 butik Siti Khadijah Group di seluruh negara bukan sekadar angka, sebaliknya setiap lokasi disasarkan untuk memaksimumkan potensi dan memberikan pulangan optimum.
Ketua Pegawai Eksekutif Siti Khadijah Group, Mohammad Munzir Aminuddin berkata, tahun lalu syarikat mencatat jualan RM135 juta, hampir 30 peratus lebih tinggi berbanding 2024.
Katanya untuk tahun ini jenama akan memperkukuh penawaran produk termasuk peluasan kategori bukan telekung seperti jenama lelaki, Teman.
“Fokus kami ialah produk pelbagai yang menepati permintaan pelanggan, inovasi fabrik dan meningkatkan kepuasan pengalaman beli-belah dalam kalangan pelanggan,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran Koleksi Ramadan dan Raya 2026, MUSHAFE, yang mengetengahkan Warisan Darul Iman dan Telekung Basic baru-baru ini.
Majlis itu turut melancarkan kempen Damai Dalam Waktu (Jeda) sebagai pendekatan nilai spiritual menjelang Ramadan dan Syawal.
Menurut Mohammad Munzir, perubahan strategi ini sejajar dengan corak perbelanjaan pengguna yang kini mengutamakan kelengkapan ibadah dan gaya hidup dalam satu jenama.
Mengenai pasaran antarabangsa, Siti Khadijah yang sudah bertapak di Singapura dan Indonesia, dalam perancangan mengembangkan perniagaan ke Asia Tengah dan Asia Tenggara, yang mempunyai permintaan tinggi terhadap busana ibadah berkualiti.
Bagi memeriahkan lagi Gema Ramadan Siti Khadijah, jenama turut memperkenalkan Amyra Rosli dan Amar Baharin sekeluarga sebagai Duta Ramadan & Raya 2026, sekali gus menjadi wajah baharu koleksi untuk segmen keluarga yang direka memenuhi gaya hidup moden tanpa mengabaikan nilai tradisi, kesopanan dan keselesaan.
Ia turut menekankan kelestarian produk berkualiti tinggi yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat.










