TELUK INTAN: DAP meminta Pas memohon maaf kepada warga jururawat berikutan seorang wakil rakyatnya yang mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan yang didakwa berpakaian ketat dan tidak patuh syariah.
Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming berkata, sebenarnya tiada isu langsung perkara yang dibangkitkan oleh pembangkang kerana pakaian semua penjawat awam termasuk jururawat mengikut etika masing-masing.
Menurutnya, DAP amat kecewa kerana wakil pembangkang bukan sahaja gagal memberikan hujah-hujah yang bernas dan konstruktif untuk membantu kerajaan memperbaiki sistem kesihatan negara malah baju uniform jururawat dijadikan bahan kritikan apabila membangkit perkara itu.
Katanya, tindakan pembangkang itu adalah satu sikap yang tidak boleh dikompromi dan kerajaan berdiri teguh dan mempertahankan jururawat dalam memastikan mereka terus diberikan sokongan yang terbaik.
“Saya sangat kesal dengan perkara ini dan berharap wakil pembangkang memohon maaf kepada jururwat yang banyak berjasa, berbakti dan banyak berkorban. Kita seharusya fokus pada prestasi bagaimana hendak memperbaiki kesihatan awam, bagaimana hendak memberikan rawatan yang terbaik bukannya memperlekehkan warga jururawat.
“Apakah tak ada isu lain untuk dibangkitkan, seolah-olah isu keperitan hidup rakyat, pembangunan ekonomi, bagaimana hendak mereformasikan sistem untuk memastikan negara terus berdiri megah di persada antarabangsa? Wakil pembangkang tak ada cadangan yang baik, cuma mainkan sentimen-sentimen yang tidak membina,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Fiesta Teluk Intan: Komuniti Bandar Dekat Dihati di Dataran Menara Condong Teluk Intan di sini hari ini.
Kor Ming yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan berkata, tindakan wakil rakyat pembangkang itu dikecam banyak pihak termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan kesatuan jururawat.
“Sepanjang perbahasan, mereka (wakil rakyat Pembangkang) saya perhatikan, isu yang dibangkitkan wakil Pas selain daripada baju uniform jururawat, ia adalah baju pramugari MAS (Malaysia Airlines), apakah tak ada isu lain?,” katanya.
Kelmarin, seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita yang didakwa berpakaian ketat dan tidak patuh syariah.
Ketika membahaskan usul Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat, beliau mendakwa, kebanyakan jururawat wanita yang berkhidmat di fasiliti kesihatan kerajaan berpakaian ketat hingga menampakkan bentuk badan dan tidak selari dengan tuntutan Islam. – UTUSAN










