BUJUMBURA: Seorang menteri dari Burundi telah terbunuh dalam apa yang kerajaan negara itu menyatakan pada Khamis sebagai satu kemalangan jalan raya, namun sumber lain berkata punca kematian masih tidak jelas dan akan disiasat lanjut.
Mayat Gabby Bugaga ditemukan di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda oleh penduduk kampung, kira-kira 10 meter dari sebatang jalan raya yang jarang digunakan dan terkenal sebagai laluan berbahaya merentasi ladang kelapa sawit di Kivoga, kira-kira 10 kilometer ke utara ibu kota ekonomi, Bujumbura.
Dua sumber mengesahkan kesahihan imej mayat tersebut di tempat duduk pemandu dalam kenderaan yang rosak itu, selepas gambar berkenaan tular di media sosial hasil hantaran petani tempatan yang tidak mengenali identiti mangsa.
“Kerajaan Republik Burundi dengan amat dukacita mengumumkan kematian mengejut Menteri Komunikasi dan Media, Encik Gabby Bugaga, yang berlaku pada subuh 16 April 2026, susulan satu kemalangan,” kata jurucakap kerajaan, Jerome Niyonzima dalam satu kenyataan tanpa memberikan butiran lanjut.
Terdahulu, sumber polis mengesahkan kepada AFP bahawa mayat yang ditemukan adalah menteri berkenaan.
“Punca kematian beliau masih belum ditentukan,” katanya sambil mendedahkan bahawa Bugaga mengalami luka parah di bahagian tengkorak selain bahagian sisi kanan dan belakang kenderaan mengalami kerosakan teruk.
Sumber polis itu turut menimbulkan persoalan mengenai kejanggalan pada lokasi kejadian.
“Kematian menteri komunikasi ini meninggalkan banyak persoalan yang belum terjawab. Walaupun mangsa mengalami kecederaan kepala, bahagian kabin pemandu masih dalam keadaan utuh. Mengapa pula tiada kesan impak pada bahagian hadapan kenderaan?” soalnya.
Beliau turut mendakwa bahawa pihak kerajaan seolah-olah mahu menutup kes tersebut tanpa siasatan rasmi bagi mengelakkan skandal.
Namun, seorang pegawai pentadbiran yang enggan dikenali memberitahu AFP bahawa siasatan sebenarnya sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
Beberapa pegawai tinggi kerajaan termasuk Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan Awam, Leonidas Ndaruzaniye; Menteri Keadilan, Alfred Ahingejeje; peguam negara serta pegawai kanan keselamatan dilaporkan berada di lokasi penemuan mayat tersebut pada pagi Khamis.
Mendiang Bugaga merupakan bekas wartawan Radio dan Televisyen Nasional Burundi yang pernah bertugas di jabatan komunikasi beberapa institusi nasional sebelum dilantik menganggotai Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan Bebas. Beliau memulakan tugas sebagai Menteri Komunikasi pada tahun 2025. – AFP










