Covid setelah dua tahun berlalu - Utusan Malaysia

Covid setelah dua tahun berlalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAAT aku ditidurkan. Kosong. Hanya terlihat seperti awan putih atau kabus yang menyelimuti. Suasana dingin entah sedingin apa, hanya dingin,mungkin sedingin embun pagi atau sedingin malam saat embun mula menitis.
Entah… Aku melihat sekeliling sunyi senyap tanpa suara. Kabus putih bergerak perlahan seperti awan berarak tenang kemudian mula menghilang perlahan-lahan bertukar kelam kemudian lama kelamaan bertukar menjadi gelap pekat bukan sepekat malam bukan sepekat tanpa bintang dan rembulan tapi sepekat seperti tertutup sebuah pemikiran dan pandangan gelap seperti saat mata terpejam.
Sunyi tiada kedengaran sebarang getaran atau lagu cengkerik mahupun sehalus desir angin. Kosong. Sepertinya berada di suatu alam yang entah di mana.
Tiba-tiba suasana bertukar cerah terlihat beberapa orang sedang mengangkat dan meletakkan sekujur jasad di atas tilam dengan sempurna. Kuamati sosok jasad yang terbujur kaku itu diam mata rapat terpejam.
Ku amati berkali-kali penuh teliti dan saksama. Ku amati lagi dan lagi. Terkejut, betulkah apa yang kulihat ini? Aku melihat diri sendiri  terbujur kaku dikelilingi oleh anak isteri dengan isakan dan saudara mara terdekat ada yang membaca Yasin ada yang menitis airmatanya. Apakah ini mimpi? Aku hanya terkedu.
Aku melihat isteriku yang cantik menangis terisak-isak berkali-kali mengesat airmatanya yang tumpah.Kelihatan Tok Penghulu dan Tok Imam sibuk berbincang bersama beberapa orang yang berada di situ.
Aku kehairanan, pengembaraan apakah yang kul alui ini?
“Sayang…Kenapa menangis?” Tegurku namun langsung tidak dihiraukannya.
Aku biarkan saja kerana mungkin dia masih dalam keadaan yang teramat sedih.
“Sayang, kenapa ini. Apa yang sudah berlaku?” Tanyaku lagi. Namun isteriku tidak juga menjawab. Masih dalam tangis sendu yang panjang.
“Tok Imam! Tok Penghulu…!” Panggilku namun tidak juga dihiraukan oleh mereka, hanya sesekali menoleh ke arahku yang terjujur kaku. Aku cuba menjerit memanggil dengan sekuat-kuatnya nama mereka namun suara seperti tersekat di kerongkongan.
Aku cuba memanggil dan menjerit sekali lagi,tetapi sia-sia sahaja kerana suaraku tidak didengarinya. Apakah mereka tidak mendengar atau sengaja tidak mahu mendengar atau mereka  tidak memahami bahasa yang aku gunakan? Zaman apakah ini? Jadi bahasa apakah yang perlu aku gunakan.
“Sayang…Kenapa semua ini?” Soalku lagi pada isteri yang asyik megesat-ngesat airmatanya. Namun tidak dihiraukan juga. Apakah isteri sendiri pun tidak faham bahasa yang aku gunakan ini? Pelik…Pelik sungguh dunia ini. Atau sengaja tak mahu mendengar? Atau dah jadi perangai manusia akhir zaman.degil..!
Perangai manusia akhir zaman pelik agaknya. Susah nak dengar kata, banyak yang tidak faham bahasa hingga ada yang kata; Kamu ni tak faham bahasakah? Degil tak dengar kata! Tapi bini aku tidak pernah degil pun sebelum ini. Semua baik-baik saja. Mungkin dia tidak mendengar atau tidak faham bahasa yang aku gunakan.
“Sayang…” Ulangku lagi. Namun sia-sia juga.
Aku cuba untuk bangun.Eh, seperti terikat aku tak dapat bergerak. Kenapa? Ku cuba gerak-gerakkan tubuh namun tidak berjaya,kenapa jadi begini? Eh…eh kenapa ni? Aku mula gelisah, gelisah sungguh. Rasa berpeluh-peluh seluruh tubuh.
Kenapa ini? Aku cuba berpaling kiri kanan, ah! Tidak berdaya. Strokkah aku, lumpuhkah aku? Apa dah jadi ini? Akhirnya aku terlena mungkin aku ditidurkan saat seluruh tubuhku diselimuti selembar kain putih.
Dalam tidur aku terasa seperti berada di awangan bukan di bumi bukan juga di langit apa lagi di bulan. Entah di mana. Tiba-tiba aku terlihat ada sebatang pohon yang tampak aneh dan cantik, sungguh menarik dan mempesona! Daunnya rimbun, buahnya lebat dan bulat seperti epal boleh tercapai tangan enak saja nampaknya. Akarnya menjulang ke bawah. Eh! Pokok apakah ini? Ajaib sungguh!
“Ini khuldi, pohon keabadian pohon keajaiban.” Terdengar suatu suara yang entah dari mana datangnya.Aku hanya terdiam dan ternganga.
Khuldi pohon keabadian pohon keajaiban? Bisikku. Apa yang abadi apa yang ajaib?
“Ia bukan saja boleh didekati malah buahnya lazat boleh dirasai sebagai rezeki. Jika disia-siakan tentu kamu akan rugi. Kerana inilah pokok yang penuh misteri ada keajaiban yang tersendiri malah boleh menguatkan semangat mengekalkan nikmat hidup di dunia ini.”
Aku terdiam juga. Dalam hati berkata, khuldi pohon keabadian. Apa bendanya?
“Khuldi ini boleh menyelamatkan sesiapa sahaja malah boleh memberikan kesegaran menambahkan kekuatan dan mengekalkan nikmat hidup.”
Ya! Ampun dahsyatnya. Ia dapat memberi kesegaran  dan mengekalkan nikmat hidup. Aku rasa itu bukan keajaiban tapi kecelakaan. Aku merengus sendiri.
“Ramai yang sudah menikmatinya. Ia percuma.Kamu bila lagi?”
“Aku? Tapi bukankah khuldi itu pohon larangan yang dilarang Tuhan, buahnya tidak boleh dirasai apa lagi didekati?”Aku mula bersuara.
“Dalam keadaan darurat tentu ia dibolehkan.”
“Darurat? Tapi aku belum dalam keadaan darurat lagi. Darurat itu bila dalam keterpaksaan untuk menyelamatkan diri.”
“Wah! Bijak kau bercakap.Apa tidak takutkah kau kepada mati?”
“Mati?” Aku tersenyum sinis.
“Pertanyaan yang bodoh. Mati itu umpama pengantin malam pertamaku. Asyik dan mempesonakan. Kenapa perlu takut? Lagipun aku sudah lama berkahwin dah punya anak lima walau impianku sebenarnya untuk dapatkan tujuh anak.”
Jangan ditanya tujuh itu apa? Tujuh itu ganjil dan berseni, ada umph bernilai tinggi. Keganjilan itu pernah tersurat di laman suci. Seminggu itu tujuh hari, tujuh anggota pada manusia sejati. Kaabah dikelilingi tujuh kali, tujuh lapis langit dan bumi.
Di dunia dengan tujuh keajaiban misteri tujuh kalimah yang bersemi tujuh al-fatihah yang berulangkali tujuh syurga yang diimpi tujuh neraka yang tersangat ngeri.
Aku menghitung tujuh anggota yang ada pada tubuh badanku. Tujuh perjalanan hari yang kulalui,tujuh rintangan yang perlu aku terobosi, tujuh gunung yang perlu didaki untuk ke tujuh lapisan langit yang suci di sama ada tujuh kedamaian menanti. Aku melihat tujuh itu adalah perjalanan di alamlokaku tapi, belum sempat aku menambah, suara itu berkata lagi.
“Tapi ramai manusia takut mati. Mereka mencari-cari sesuatu untuk menamatkan ketakutan itu. Hari ini sains dan teknologi sudah sampai kemuncaknya. Ramai pakar membuat kajian bahawa khuldi ini adalah yang terbaik sebagai penawar bukan sahaja dapat mengelak jangkitan tetapi juga mengelak kematian.”
Fuuuh! Tersentak jantungku macam nak meletup rasanya. Kata-katanya macam doktor kaki lima untuk orang ramai percaya pil panjang umur yang dijualnya.
“Sudah! Jangan dekati aku. Selama ini telah banyak perkara syubhah apa lagi haram masuk ke rongga menyelinap menjadi darah daging hidupku kali ini aku tak izinkan. Jangaan…!”
“Ini bukan khuldi di zaman Adam yang pernah kau dengar dan baca sebelumnya. Ini khuldi akhir zaman…”
Aku tergaru-garu seketika.
Tahukah kamu khuldi itu apa? Dari universiti mana kamu belajar?”
“Aku sebetulnya cukup-cukup kenal apa yang ada di dunia ini. Semuanya telah diajar semenjak azali kerana dunia ini adalah sebuah universiti teragung yang pernah diciptakan Tuhan untuk aku belajar mengenal segala sesuatu termasuk kamu!” Kataku.
“Waaah…! Hebatnya kamu.”
“Khuldi itu bukan hanya sebatang pokok larangan yang terhias indah. Ia juga landskap dan fitnah yang mempesona. Ia bercambah membiak dan tumbuh subur menjadikannya sukar untuk dinilai antara pokok kebenaran dan khuldi larangan ia adalah sebuah episod hasutan dan mimpi yang panjang.” Kataku sambil mata membulat melihat sekeliling tiada sebatang pokok pun hanya dinding yang cantik dan berhias indah.
Tubuhku terasa sejuk oleh penghawa dingin yang sentiasa terpasang. Kelihatan beberapa gadis berpakaian putih cantik sopan dan sibuk melayan beberapa orang lain yang berada di situ.
Aku menoleh ke sebelah, ada seorang gadis beruniform putih sudah bersedia untuk menyuntik jarum di lenganku. Aku melihat ke wajah perempuan yang cantik itu. Bagai bidadari tidak bernama yang pernah hadir dalam mimpiku. Wah! Boleh tahan juga. Ini khuldi yang cantik!
Jarum suntikan yang telah tersedia di depan mata bila-bila masa saja untuk menembus kulitku. Hah! Tiba-tiba aku tersentak bila terdengar bising perbualan entah apa yang dibualkan kadang-kadang seperti bahasa yang amat mudah difahami kadang-kadang kefahaman pun hilang dan tenggelam.
Entah mungkin bahasa Jerman atau bahasa kuno lama yang sukar difahami, bahasa kuno yang wujud sebelum abad ke-5. Kucuba amati perbualan mereka dalam kelam pandangan.
Ya, perbualan mereka jelas kedengaran tetapi tidak mudah difahami mungkin bercampur aduk dengan pelbagai dialek atau bercampur pelbagai bahasa yang membuatkan ia punah payah dikunyah apa lagi untuk dihadami.
Dan ku amati lagi ku cuba fahami bila ku teliti ternyata ia bahasa yang mudah difahami ia bahasa mimpi.
“Angkat perlahan-lahan. Perlahan-lahan” Kata satu suara tanpa wajah dalam kelam pandangan. Ku amati perbualan mereka.
“Angkat perlahan-lahan, jika boleh kita ingin mandikannya kafan dan segerakan persemadian.“
Sepertinya aku pernah mendengar ungkapan ini…Bahasa mimpi atau realiti? – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya