PETALING JAYA: Caj RM1 yang dikenakan klinik kesihatan kerajaan wajar dinaikkan kepada RM5 hingga RM20 kerana fi sedia ada disifatkan tidak masuk akal terutama ketika nilai kos rawatan semakin meningkat.
Berbanding klinik swasta, rawatan sakit demam atau selesema sahaja, caj sebanyak RM70 hingga RM90 akan dikenakan bagi konsultasi dan ubat-ubatan.
Malah sekiranya kerajaan menaikkan kepada RM10, ia masih dikira murah dan berbaloi kerana konsultasi dan ubatan yang ditawarkan di klinik kerajaan setaraf dengan klinik swasta.
Yang Dipertua Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia (Ikram Health), Dr. Mohd. Afiq Mohd. Nor berkata, caj RM1 itu tidak menggambarkan nilai kos rawatan sebenar mahupun kerja kakitangan kementerian yang sudah overwork dengan tugasan harian mereka.
“Pada masa akan datang klinik kesihatan dan Jabatan Perubatan Kecemasan boleh mengenakan caj RM5, malah klinik pakar boleh mengenakan caj RM15 hingga RM20.
“Kenaikan caj ini adalah suatu keperluan kerana kos rawatan semakin tinggi yang akan membebankan kerajaan untuk menampung sepenuhnya dan boleh menjejaskan perkembangan perkhidmatan, penambahbaikan fasiliti serta kemudahan dan kebajikan kakitangan,” katanya
ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Dr. Mohd. Afiq berkata, masyarakat perlu bersedia untuk menerima sedikit kenaikan caj pada suatu hari nanti dan pastinya hasil caj itu juga akan digunakan bagi memperkembangkan perkhidmatan, memperbaiki fasiliti serta kemudahan rawatan.
Beliau mengulas mengenai cadangan pembaharuan dalam sistem perbelanjaan pembiayaan kesihatan menerusi Kertas Putih Kesihatan yang akan dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada sidang Parlimen akan datang.
Sementara itu Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman berkata, satu formula terbaik harus disediakan oleh kerajaan bagi menetapkan kadar bayaran tersebut namun tidak membebankan rakyat.
“Kalau dilihat, sejak tahun 60-an atau 70-an, caj bayaran RM1 untuk setiap kali rawatan di semua fasiliti kerajaan tidak berubah. Kalau dulu, tambang bas awam pun mungkin cuma 50 sen, sekarang harganya pun sudah tidak lagi sama.
“Apa yang pasti, kerajaan tidak lagi mampu menampung subsidi kos rawatan kesihatan rakyat. Kita perlu mengambil kira latar belakang kemampuan ekonomi kerajaan dan keadaan ekonomi semasa. Saya sendiri pun tidak boleh petik berapa ‘angka ajaib’ untuk kadar bayaran minimum munasabah.
“Mungkin perkara itu boleh diajukan kepada pakar ekonomi kesihatan negara. Mereka pasti ada formula terbaik yang mengambil kira banyak faktor termasuk pertambahan populasi rakyat dan kecanggihan teknologi,” katanya.
Selain itu, kata Dr. Malina, pihaknya juga berharap kerajaan dapat memastikan
perkhidmatan rawatan yang disediakan berada pada tahap berkualiti termasuk memastikan kakitangan kompeten yang mencukupi.
Beliau juga berharap agar agenda Generasi Penamat atau Generational End Game (GEG) diteruskan di samping menarik semula keputusan menyahsenarai nikotin daripada senarai bahan racun.
Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sanjay Rampal pula berkata, pihaknya menyokong usaha untuk menambah bajet dalam sistem perbelanjaan pembiayaan kesihatan negara.
Pada masa yang sama, beliau juga menggesa kerajaan untuk memfokuskan juga usaha meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan komuniti dari semasa ke semasa.
“Sebahagian daripada bajet kesihatan tersebut mungkin boleh digunakan untuk kempen kesedaran kesihatan kepada masyarakat. Ini kerana kita tentunya mahu pengurangan jumlah pesakit yang datang mendapatkan rawatan terutama di hospital kerajaan yang telah sesak.
“Jika dapat menerapkan tentang kesedaran kesihatan ini di usia muda adalah lebih baik. Selain itu, adalah sangat penting untuk kementerian menyediakan jaminan kesihatan yang baik buat rakyat,” katanya. – UTUSAN










