Bubar DUN: Selangor tunggu tarikh diperkenan Sultan - Utusan Malaysia

Bubar DUN: Selangor tunggu tarikh diperkenan Sultan

Tarikh DUN
AMIRUDIN Shari menyerahkan baucar sumbangan program PSKNS 2023 kepada salah seorang penerima di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri menunggu perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menentukan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negerinya (DUN) untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau sudah pun menghadap baginda pada minggu lalu dan memaklumkan perkara tersebut, namun menunggu perkenan Sultan Selangor sebelum mengumumkan pembubarannya.

“Minggu lepas saya sudah menghadap Baginda dan memaklumkan (berhubung sesi menghadap untuk pembubaran DUN).  Secara asasnya, tuanku sedang mempertimbang tarikh sebab baginda ada beberapa perancangan lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sumbangan Korban Negeri Selangor (PSKNS) 2023, hari ini.

Beliau menambah, pembubaran DUN di Selangor perlu dilakukan melalui istiadat seperti yang dilakukan pada pilihan-pilihan raya sebelum ini .

“Hendak bubar DUN perlu ada mesyuarat dan tempatnya pula disediakan. Ada istiadat yang menjadi tradisi di Selangor dan ingin kita kekalkan, ia perlu dibuat dengan cermat dan teratur,” jelasnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan bahawa DUN Selangor akan dibubarkan sebelum tarikh pembubaran automatiknya iaitu 25 Jun depan.

Malah, sebelum ini Amirudin turut memaklumkan beliau dijangka menghadap Sultan Sharafuddin pada minggu hadapan atau minggu terakhir bagi menentukan tarikh pembubaran DUN Selangor

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan situasi pengosongan pejabat dilakukan oleh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dikatakan menjadi perkara biasa pada setiap kali hujung penggal.

Menurutnya, tindakan yang mereka lakukan itu bagi membolehkan mereka mengemaskan apa yang perlu, memandangkan jangka hayat DUN Selangor hanya tinggal 22 hari sahaja.

“Bila menghampiri pembubaran (DUN), kita pun bersiap sedia untuk kemas dan saya pun buat perkara sama pada penggal lepas. Nanti bila PRN, semua akan sibuk di lapangan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya