Bot nelayan tempatan ditahan gajikan PATI warga Myanmar - Utusan Malaysia

Bot nelayan tempatan ditahan gajikan PATI warga Myanmar

SERAMAI empat kru nelayan warga Myanmar yang ditahan Maritim Malaysia Pulau Pinang di kedudukan 33 kilometer barat Pulau Kendi, pukul 2 petang semalam kerana tidak memiliki permit kerja yang sah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di perairan negeri ini semalam kerana menggajikan pekerja warga asing tanpa permit yang sah.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot itu ditahan di kedudukan 33 kilometer barat Pulau Kendi, pukul 2 petang.

Katanya, semasa rondaan rutin di perairan Pulau berkenaan, pasukan bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan bot itu dan dirapati untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, empat kru nelayan termasuk tekong warga Myanmar berada di atas bot tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan berumur antara 26 hingga 31 tahun.

”Bot berkenaan disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru asing tanpa kebenaran dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki permit atau pas yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua kru, bot, dan hasil tangkapan ikan campur sebanyak 100 kilogram ditahan serta dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Batu Uban, dekat sini untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, sebarang aduan, salah laku dan kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-262 6146 atau MERS 999 untuk tindakan segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.