KUALA LUMPUR :Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terus memantau di lokasi kejadian runtuhan bumbung di dewan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Jalan Duta hari ini.
Komander Operasi BBP Sentul, Pegawai Bomba Kanan II, S Thirugaya ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, anggotanya ditempatkan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan dan keselamatan kakitangan IKIM yang bertugas hari ini.
Kata beliau, keadaan ketika ini adalah terkawal dan kakitangan IKIM sedang memindahkan beberapa barangan yang tidak terjejas di tempat yang selamat.
“Sepanjang tempoh memindahkan barangan ini, kita akan bantu mereka memantau struktur bangunan sekitar lokasi terjejas agar tiada runtuhan lain berlaku.
“Seramai 10 anggota terlibat dalam pemantauan pagi ini dan kami akan berada di sini sehingga semua selesai,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi semalam, lima wanita cedera ringan selepas bumbung dewan di IKIM, di Jalan Duta,runtuh.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 11.56 pagi tadi.
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memantau di lokasi kejadian runtuhan bumbung di dewan di IKIM, Jalan Duta di ibu negara.
Susulan itu, seramai 15 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas dan BBP Jalan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.
Sebanyak lima mangsa wanita tempatan berusia antara 30 hingga 50 tahun dilaporkan mengalami cedera ringan dalam kejadian itu.- UTUSAN